GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

POLIS menahan pegawai agensi penguatkuasaan berpangkat komander yang dipercayai menjadi dalang dalam rompakan satu tan sotong dan wang tunai daripada tekong bot warganegara Vietnam di perairan Rompin dekat Kuantan, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Azli Mohd Noor berkata, suspek berusia 30 tahun dan bertugas di Kemaman, Terengganu itu ditahan bersama dua adik-beradiknya dan dua beranak yang disyaki turut terlibat dalam jenayah tersebut.

Katanya abang kepada suspek utama berusia 31 tahun ialah guru di Bentong manakala adiknya yang berusia 28 tahun bekerja sebagai pembantu am rendah di sebuah agensi berkaitan kelapa sawit.

Dua lagi suspek ialah nelayan berusia 20 tahun dan bapanya yang berumur 56 tahun, katanya dalam kenyataan di Kuantan, hari ini.

"Semua mereka disyaki terlibat dalam kegiatan samun yang melibatkan tekong bot Vietnam yang dikatakan telah menghubungi pemilik bot itu pada pukul 3.14 pagi, Rabu lalu bagi memaklumkan seorang lelaki meminta wang tunai RM10,000 sebagai balasan untuk tidak diganggu.

"Pemilik bot yang merupakan rakyat tempatan kemudian diberitahu bahawa bot itu ditahan lima lelaki yang menaiki bot fiber yang memperkenalkan diri sebagai anggota penguatkuasaan dari Mersing semasa berada di perairan Rompin.

"Tekong bot itu mendakwa seorang daripada suspek telah mengacukan pistol ke arahnya dan dadanya ditumbuk bertubi-tubi sebelum suspek beredar dengan 1 tan sotong daripada bot tersebut," katanya

Azli berkata suspek utama juga didakwa telah bertemu dengan pemilik bot yang berusia 44 tahun dan merupakan peniaga di Kuala Rompin di sebuah kedai makan pada hari yang sama untuk mengambil wang sebanyak RM2,000.

Mereka semua bagaimanapun ditahan di Nenasi, Pekan dekat sini pada hari yang sama bersama-sama tong berisi sotong serta wang tunai RM1,700 yang ditemui di dalam kereta dinaiki mereka, katanya.

Azli berkata, semua suspek kini direman sehingga 30 Okt depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Siasatan juga dilakukan di bawah Seksyen 385 kanun yang sama bagi kesalahan pemerasan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 7:19 PM