Iskandar Shah Mohamed


DUA beranak warga Indonesia ditemui rentung selepas rumah sewa didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Sungai Udang, Klang, hari ini.

Dalam kejadian 6.30 pagi, mangsa dikenali sebagai Sulastri, 48, dan anaknya, Wahyu Mohd Asraf, 18, dikatakan cuba keluar dari rumah namun gagal kerana berkunci dan terhalang oleh beberapa motosikal di dalamnya.

Lebih memilukan, mangsa ditemui terduduk dipercayai dalam usaha untuk menyelamatkan diri dalam tandas rumah berkenaan.

Kebakaran turut memusnahkan tiga lagi rumah berdekatan yang berstruktur kayu namun tidak membabitkan mangsa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan 6.48 pagi.

“Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja, Sri Andalas dan Pelabuhan Klang bersama tiga jentera dikerah dalam operasi ini.

“Setibanya di lokasi, api didapati marak memusnahkan satu daripada empat rumah itu yang didapati berkunci.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui dua mayat di dalam tandas rumah itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati dua beranak itu cuba keluar ketika kebakaran yang bermula di ruang tamu rumah berkenaan.

“Namun, jeriji besi di pintu depan dan belakang itu berkunci selain turut terhalang oleh beberapa motosikal di dalamnya.

“Kedua-dua mangsa kemudian pergi ke tandas untuk menyelamatkan diri namun maut dipercayai akibat sesak nafas terhidu asap dan rentung kira-kira 30 peratus,” katanya.

Norazam berkata, pihaknya berjaya mengawal api daripada merebak ke tiga rumah lain dan kebakaran dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh 30 minit.

“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti punca sebenar kejadian. Mayat dua beranak itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 10:43 AM