API marak membakar dua rumah di Lorong Laman 1, Kampung Pandan Dalam.
API marak membakar dua rumah di Lorong Laman 1, Kampung Pandan Dalam.
Norizuan Shamsuddin


Ampang Jaya: “Jiran saya itu tinggal sendirian di rumah. Dia hanya mampu menjerit meminta tolong sebelum mati terbakar hidup-hidup selepas gagal menyelamatkan diri,” ujar saksi kejadian, Siti Rokiah Arifin, 45.

Dalam tragedi jam 8.50 malam kelmarin, mangsa wanita warga emas, Rakiah Manan, 80, ditemui rentung di bahagian dapur rumahnya di Lorong Laman 1, Kampung Pandan Dalam, di sini.

Rokiah berkata, dia berada di rumahnya yang terletak bersebelahan dengan kediaman mangsa ketika kebakaran bermula.

Katanya, dia mendengar jeritan mangsa dari dalam rumah yang sedang terbakar itu.

“Api marak terlalu pantas dan api dilihat menjulang keluar dari tingkap ruang tamu rumah itu.

“Saya tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya sempat lari menyelamatkan diri kerana bimbang api merebak ke kediaman saya,” katanya.

Menurutnya, orang ramai cuba memadamkan kebakaran itu menggunakan air yang diambil dari paip berhampiran, namun gagal.

Rokiah berkata, dia difahamkan dua anak mangsa tiada di rumah kerana belum pulang daripada bekerja.

“Dia sudah lama menetap di kediaman itu bersama dua anak. Dia juga sudah uzur dan berjalan menggunakan tongkat menyebabkannya tidak sempat menyelamatkan diri kerana api marak dengan pantas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah, Skeincitbancong Wee San berkata, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah dikerah ke lokasi selain dibantu BBP Serdang serta BBP Ampang.

“Sebaik tiba di lokasi jam 9.12 malam, anggota bomba mendapati kebakaran membabitkan dua rumah dan difahamkan, terdapat seorang mangsa terperangkap di dalamnya.

“Kebakaran dikawal jam 10.05 malam. Pemeriksaan dilakukan menemui mayat seorang wanita rentung di dapur rumah yang terbakar itu pada jam 11.04 malam. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Bangi untuk dibedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2017 @ 6:27 AM