EMPAT sekeluarga rentung selepas rumah mereka di Taman Hungab, terbakar awal pagi tadi. FOTO Juwan Riduan
EMPAT sekeluarga rentung selepas rumah mereka di Taman Hungab, terbakar awal pagi tadi. FOTO Juwan Riduan
BERNAMA

Penampang: Empat sekeluarga yang terkorban dalam kebakaran di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Hungap, di sini, awal pagi tadi dipercayai gagal membuka mangga kunci di jeriji kecemasan pada tingkap, untuk menyelamatkan diri.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Md Ali Ismail berkata, tiga mayat mangsa ditemukan di bilik tingkat atas berhampiran tingkap itu, dan seorang lagi mangsa ditemukan dalam bilik air berhampiran bilik berkenaan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kebakaran itu dipercayai bermula dari tingkat bawah rumah, bagaimanapun siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kebakaran.

"Keempat-empat mangsa berkenaan dipercayai sedar kebakaran itu, namun gagal menyelamatkan diri kerana tidak dapat membuka mangga yang dipasang pada jeriji berkenaan.

"Apabila dalam keadaan panik, besar kemungkinan mangsa akan lupa di mana meletakkan kunci untuk membuka jeriji kecemasan tingkap berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian di sini hari ini.

Mangsa dikenal pasti sebagai Matthew Wong, 50; dan dua anaknya, Brendan Wong, 18, serta Eric Wong, 15, ditemukan di bilik tingkat atas berhampiran jeriji tingkap kecemasan, manakala isterinya, Jecky Vun Kon Fung, 48, di dalam bilik air berhampiran bilik berkenaan.

Dalam kejadian itu, JBPM Sabah menerima panggilan pada 2.52 pagi, sebelum berjaya mengawal kebakaran pada 3.40 pagi dan operasi di lokasi kejadian ditamatkan pada 6.10 pagi.

Md Ali berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak memasang jeriji kecemasan tingkap rumah yang berkunci, agar mudah untuk menyelamatkan diri sekiranya berlaku kebakaran.

"Kebanyakan kes kebakaran yang membabitkan kematian menunjukkan mangsa cuba keluar melalui jeriji kecemasan tingkap rumah berkenaan, namun gagal berbuat demikian kerana gagal membuka mangga yang berkunci," katanya.

Berita berkaitan

Empat beranak rentung [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 2:03 PM