KEADAAN trafik bergerak perlahan apabila warga kota mulai pulang ke Kuala Lumpur selepas cuti Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan trafik di Lebuhraya Pantai Timur. FOTO Aizuddin Saad
KEADAAN trafik bergerak perlahan apabila warga kota mulai pulang ke Kuala Lumpur selepas cuti Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan trafik di Lebuhraya Pantai Timur. FOTO Aizuddin Saad
Hidayatul Akmal Ahmad


ALIRAN trafik di beberapa lebuh raya dilaporkan perlahan, manakala sebahagian lain kian sesak berikutan warga kota mula meninggalkan kampung halaman masing-masing.

Laporan terkini sehingga 12.30 tengah hari di laman sosial Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan, trafik perlahan dari Hentian Sungai Bakap ke Jawi.

Trafik juga perlahan dari Bertam ke Sungai Dua berikutan terdapat kemalangan.

Dalam pada itu, trafik juga dilaporkan sesak dari Lebuhraya Karak ke Bukit Tinggi dan sebelum keluar di Plaza Tol Gombak.

Trafik perlahan tujuh kilometer dari KM76 hingga ke KM70.4 (Karak) menghala ke Barat. Trafik ‘bercantum’ selepas Plaza Tol Bentong sehingga ke Bukit Tinggi (KM49.2) menghala ke Barat.

Trafik turut sesak di enam kilometer dari KM67.7 sehingga Plaza Tol Bentong.

Sementara itu laporan Bernama sekitar 10 pagi menyatakan, trafik sesak di Bangunan Sultan Iskandar dari Singapura menuju ke Malaysia sementara perlahan dari Tangkak ke Jasin, berdasarkan maklumat daripada PLUS Trafik.

Trafik turut dilaporkan perlahan selepas terowong menuju hentian sebelah Simpang Pulai (Selatan), kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah ke Bidor, Bidor ke Sungkai dan Bukit Tagar ke Bukit Beruntung.

Keadaan trafik perlahan turut berlaku dari Bukit Merah ke Taiping (Utara) kerana terdapat kemalangan di KM204.2 arah selatan menyebabkan lorong kanan terhalang.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 12:51 PM