Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Aliran trafik di beberapa laluan di sekitar lebuh raya utama masih sesak berikutan orang ramai balik ke kampung sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, hari ini.

Tinjauan menerusi akaun rasmi Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sehingga jam 9 pagi tadi mendapati trafik sesak di beberapa laluan di Lebuhraya Utara Selatan (Plus).

Aliran trafik sesak di Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Hospital Sungai Buloh ke Bukit Beruntung; Bukit Tagar ke Tanjung Malim; Slim River ke Sungkai; Sungkai ke kawasan rehat dan rawat (RNR) Tapah; persimpangan Tapah ke Gopeng dan Ipoh Selatan ke Sungai Perak.

Trafik juga perlahan di lebuhraya sama arah utara dari Hospital Sungai Buloh ke Sungai Buaya; selepas Sungai Buaya ke Bukit Tagar; dari Lembah Beringin ke Behrang; susur keluar persimpangan Sungkai ke Plaza Tol Sungkai; dari Bidor ke Gopeng; dari Ipoh Selatan ke Ipoh Utara dan sebelum Sungai Perak ke Kuala Kangsar.

Selain itu, Lebuhraya Utara Selatan arah utara turut perlahan dari Rawang ke Sungai Buaya; dari Slim River ke Sungkai dan dari Tapah ke Gopeng.

Di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak pula, trafik sesak arah timur dari Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) (Bandar Dalam) dan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) (Taman Melawati) ke Plaza Tol Gombak terus ke Lentang.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter di http://www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-887752 serta laman Twitter di http://www.twitter.com/LLMinfotrafik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2022 @ 9:43 AM
RAKAMAN aliran trafik sesak arah timur dari Lebuhraya DUKE dan MRR2 ke Plaza Tol Gombak terus ke Lentang. FOTO Ihsan Twitter LLM
RAKAMAN aliran trafik sesak arah timur dari Lebuhraya DUKE dan MRR2 ke Plaza Tol Gombak terus ke Lentang. FOTO Ihsan Twitter LLM