NURUL Erwani menemani Ainul Mardhiah di hospital kanak-kanak di London. NSTP/IHSAN FB
NURUL Erwani menemani Ainul Mardhiah di hospital kanak-kanak di London. NSTP/IHSAN FB
Mohd Azrone Sarabatin


KELUARGA bayi perempuan penghidap kanser mulut ‘Germ Cell Tumor’ yang kini dirawat di hospital kanak-kanak di London, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin sudah dimaklumkan pihak hospital mengenai risiko pembedahan berkenaan.

Bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, berkata doktor pakar yang akan membuat pembedahan memaklumkan kepada beliau pembedahan berkenaan sangat berisiko tinggi.

Beliau berkata, sebelum pembedahan, pelbagai faktor perlu mereka teliti kerana terlalu berisiko kepada bayi istimewa berkenaan.

Katanya, pasukan perubatan yang melakukan pembedahan mahu anaknya betul-betul bersedia sebelum menjalani pembedahan secara besar-besaran yang mengambil masa panjang.

“Ainul sah akan dibedah tidak lama lagi, cuma sekarang mereka di sini mahu Ainul besar dan kuat sikit dulu dan selamat tanpa sebarang komplikasi.

“Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) pun sudah buat, doktor pakar pun sudah berbincang dan selepas mereka teliti keadaannya dan bincang kaedah pembedahannya, mereka sebulat suara memutuskan pembedahan akan dijalankan,” katanya menerusi Facebooknya, malam ini.

Ahmad Safiuddin berkata, beliau dan isterinya, Nurul Erwani Zaidi berharap semua pihak dapat bersabar dan membantu mereka mendoakan terbaik untuk anaknya.

Katanya, mereka yakin dengan kekuasaan Allah dan dewan bedah akan dipenuhi malaikat yang menjaga anaknya dan Allah akan berikan ilham kepada pakar perubatan yang merawatnya.

“Insya-Allah, Allah itu sentiasa ada. Allah ada dengan Ainul, kami dan kita semua dan mudah-mudahan puteri kesayangan kami selamat menjalani pembedahan.

“Allah yang gerakkan hati manusia. ilmu perubatan adalah ilmu daripada Allah dan kami sangat yakin, bila tiba hari pembedahan nanti, Allah pasti akan turunkan bantuannya bersama Ainul,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Ainul Mardhiah
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2019 @ 12:04 AM