SAMPAH dibakar dalam tong roro di Jalan Ketoyong. FOTO ihsan pembaca
SAMPAH dibakar dalam tong roro di Jalan Ketoyong. FOTO ihsan pembaca
Rosman Shamsudin

KEJADIAN vandalisme dengan membakar tong roro disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk pembuangan sampah di Jalan Ketoyong, Tanjung Malim, amat dikesali.

Difahamkan, Januari lalu sebanyak dua kali tong roro dibakar dan terbaharu berlaku kira-kira 6 pagi Khamis lalu.

Yang Di Pertua Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM), Faizal Nizam Md Nor berkata, MDTM kesal dan kecewa dengan tindakan vandalisme yang dilakukan terhadap tong roro yang disediakan untuk kegunaan orang awam itu.

Menurutnya, tong roro diletakkan di situ bagi memudahkan orang awam terutama penduduk Kampung Ketoyong, Kampung Berop dan Kampung Cina Ketoyong membuang sampah.

“Setiap hari, pekerja MDTM mengutip sampah tanpa gagal termasuk pada cuti hujung minggu dan umum.

“Tindakan ini dipercayai dilakukan oleh pencari barang lusuh atau individu yang sengaja mencetuskan kebakaran,” katanya ketika ditemui, dekat Tanjung Malim.

Tong roro disediakan di enam kawasan pentadbiran MDTM bertujuan memberi perkhidmatan terutama di kawasan yang tiada perhidmatan kutipan sampah dari rumah ke rumah.

Malah, tindakan segelintir orang awam yang membuang sisa bahan binaan, perabot rosak dan dahan pokok di dalam dan di tepi tong roro juga amat dikesali oleh pihak MDTM.

“Tong roro adalah harta benda awam dan menjadi tanggungjawab orang ramai menggunakan kemudahan itu secara efisyen bukannya melakukan vandalisme,” katanya.

Katanya, pihak MDTM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang melakukan vandalisme terhadap harta benda awam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 11:24 AM