KUCING yang berjaya diselamatkan selepas sebuah rumah terbakar. FOTO Ihsan Bomba.
KUCING yang berjaya diselamatkan selepas sebuah rumah terbakar. FOTO Ihsan Bomba.
Recqueal Raimi


TINDAKAN pantas pasukan bomba menyelamatkan 11 kucing dan sebuah kereta dalam kebakaran dua rumah berkembar di Kampung Goshen, Kota Marudu, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian pada 8.15 pagi itu, kedua-dua rumah terbabit tiada penghuni.

Kebakaran itu disedari seorang lelaki, Welton Loidon, 25, yang melalui lokasi berkenaan ketika sedang menunggang motosikal dari arah Kampung Kotud menghala Pekan Kota Marudu.

Welton berkata, sebaik ternampak kepulan asap tebal dia memberhentikan motosikal dan memanggil penghuni, namun tiada sahutan.

“Beberapa pengguna kenderaan lain turut berhenti untuk membantu, sementara saya menghubungi pihak bomba,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Marudu, Rony Sikawan ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8.23 pagi dan tujuh anggota dikerah ke lokasi dengan dua jentera.

“Sebaik tiba, dua rumah terbakar 90 peratus namun pemeriksaan mendapati tiada penghuni dilaporkan terperangkap.

“Kami turut menyelamatkan 11 kucing peliharaan, bagaimanapun seekor daripadanya sudah mati,” katanya sambil menambah kereta yang diselamatkan rosak lima peratus akibat bahang api.

Menurutnya, operasi ditamatkan pada 9.38 pagi dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 12:27 PM