SUSPEK. FOTO Ihsan Polis
SUSPEK. FOTO Ihsan Polis
Nor Farhani Che Ad


GAGAL mendapat wang daripada ibunya, lelaki dipercayai penagih dadah cuba mengugut ahli keluarganya dengan memecahkan barang dalam rumah di Taman Kucai, Lunas, di Kulim, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, suspek lelaki yang dipercayai penagih dadah berusia 36 tahun berang kerana ibunya enggan memberinya wang sebelum mengamuk dalam kejadian jam 11.50 pagi, 2 Disember lalu,

Beliau berkata, kakak suspek yang juga seorang ibu tunggal membuat laporan polis kerana bimbangkan keselamatan dirinya bersama anak-anaknya dan ibu mereka.

“Tindakan kakak suspek itu berikutan terlihat suspek mengambil pemutar skru sebelum dimasukkan ke dalam poket seluarnya.

“Susulan laporan itu, suspek ditahan di hadapan rumah mereka, jam 4 petang semalam oleh anggota polis yang sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah.

“Soal siasat awal yang dilakukan, suspek tidak mengaku perbuatannya dalam kes terbabit," katanya yang dihubungi NSTP hari ini.

Ahmad Nasir berkata, siasatan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuklah terbabit dalam kesalahan rogol, pecah rumah dan dadah.

“Suspek kini ditahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 9:03 AM