BERNAMA

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Jepun Shinzo Abe di Pejabat Perdana Menteri di Nagato-cho, Chiyoda-ku, Tokyo.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan perkara yang menjadi minat dan kepentingan bersama bagi mengukuhkan hubungan dan kerjasama dua hala dalam banyak bidang meliputi perdagangan, pendidikan dan pertahanan.

Dr Mahathir, dalam ucapan pembukaannya berkata, Malaysia amat menghargai sokongan dari Jepun dan berharap hubungan baik yang sedia terjalin antara kedua-dua negara akan berterusan.

“Kami juga gembira kerana masyarakat perniagaan di Jepun menyatakan ikrar sokongan mereka kepada pelaburan.

“Kami amat mengharap untuk mengadakan lebih banyak kerjasama dengan Jepun,” katanya.

Abe dalam ucapannya pula berkata, Jepun akan terus menyokong Malaysia dan mengharapkan hubungan Jepun dan Malaysia diperkukuh semula dalam pelbagai bidang dan sektor yang sesuai dengan era baru kini.

“Dasar Pandang Ke Timur adalah lampu isyarat (beacon) dalam hubungan dua hala antara Jepun dan Malaysia,” katanya.

Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkan oleh Dr Mahathir selepas beliau menjadi perdana menteri buat kali pertama pada 1981, menggalakkan Malaysia mencontohi etika kerja dan teknik perniagaan negara Timur seperti Jepun dan Korea Selatan.

Abe turut menyatakan kekagumannya terhadap inisiatif Malaysia yang tidak berhenti memperbaiki ketelusan dan mengurangkan hutang negara.

Dr Mahathir kini pada hari terakhir lawatan kerja tiga harinya ke Jepun yang mana beliau turut menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa mengenai Masa Depan Asia ke-25 atau Persidangan Nikkei.

Ini adalah kali keempat Dr Mahathir melawat Jepun setelah menjadi Perdana Menteri Malaysia bagi kali kedua selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 12:21 PM