SKRIN video menunjukkan imej Shinzo Abe. FOTO AFP
SKRIN video menunjukkan imej Shinzo Abe. FOTO AFP
BERNAMA

Istanbul: Bekas Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe meninggal dunia pada Jumaat, hanya beberapa jam selepas ditembak ketika beliau sedang berucap dalam satu kempen pilihan raya.

Perdana Menteri Fumio Kishida menyifatkan serangan itu sebagai "biadab, berniat jahat" yang "tidak boleh diterima sama sekali", menurut Agensi Anadolu.

Abe berada di bandar raya Nara bagi meraih sokongan untuk calon Parti Demokratik Liberal (LDP), parti yang memerintah, sempena pilihan raya Senat.

Sekurang-kurangnya dua das tembakan kedengaran sebelum Abe rebah. Kejadian berlaku sejurus Abe mula berucap kira-kira 11.30 pagi waktu tempatan.

Penyerang, Tetsuya Yamagami, 41, penduduk Nara, telah ditahan dan didakwa kerana cubaan membunuh. Senapang patah yang digunakan pelaku juga dirampas.

GAMBAR dirakam seorang saksi Toshiharu Otani yang menunjukkan Shinzo Abe (tengah) sebelum berucap, sementara lelaki (dua dari kanan belakang) dipercayai suspek yang menembak Abe. FOTO AFP.
GAMBAR dirakam seorang saksi Toshiharu Otani yang menunjukkan Shinzo Abe (tengah) sebelum berucap, sementara lelaki (dua dari kanan belakang) dipercayai suspek yang menembak Abe. FOTO AFP.

Abe berundur daripada LDP pada musim gugur 2020 atas masalah kesihatan.

Beliau adalah perdana menteri paling lama berkhidmat di Jepun mengatasi rekod sebelum ini iaitu 2,798 hari yang dipegang bapa saudaranya, Eisaku Sato (1901-1975).

'Politik menuntut hasil yang berkesan'

Moto politik yang menjadi pegangan Abe ialah 'politik yang memberikan hasil yang berkesan'.

Abe, menjadi perdana menteri termuda Jepun semasa pertama kali memegang jawatan itu pada 2006. Ketika itu beliau berusia 52 tahun.

Lahir daripada keluarga politik, datuknya, Kishi Nobusuke, berkhidmat di Jepun sebagai perdana menteri antara 1957 dan 1960.

Alumni Universiti Seikei itu menamatkan pengajian pada 1977, sebelum bertugas seketika di Kobe Steel antara 1979 dan 1982 sebelum memasuki arena politik.

Beliau kemudian menyertai bapanya, Shintaro Abe dengan memegang jawatan sebagai setiausaha.

Berikutan kematian bapanya, Abe bertanding dalam pilihan raya pada 1993 dan berjaya dipilih ke Dewan Rakyat yang dikenali Diet.

GAMBAR fail Shinzo Abe yang dirakam pada 21 Oktober 2017. FOTO AFP
GAMBAR fail Shinzo Abe yang dirakam pada 21 Oktober 2017. FOTO AFP

Bagaimanapun, karier politiknya mengalami kejutan apabila terpaksa melepaskan jawatan disebabkan penyakit 'ulcerative colitis' yang dihidapinya.

Beliau meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 2007 setahun selepas dilantik.

Pada tahun sama parti pimpinannya juga menghadapi kekalahan memalukan dalam Diet.

Kembali berkhidmat

Abe kembali berkuasa pada September 2012 dan merampas semula tampuk kepimpinan LDP dan berjaya membawa parti itu menang dengan majoriti besar pada Disember tahun yang sama.

Moto beliau mula menunjukkan hasil apabila program rangsangan monetari Bank of Japan berjaya sekali gus meningkatkan pendapatan syarikat besar dan harga saham."

Beliau dipilih semula dalam pilihan raya 2014 dan 2017.

Bagaimanapun pentadbirannya gagal mencapai sasaran inflasi tahunan dua peratus.

Semasa sidang akhbar terakhirnya sebagai perdana menteri pada Oktober 2020, Abe turut bercakap mengenai keselamatan Jepun.

"Korea Utara mempunyai banyak keupayaan dalam peluru berpandu balistik dan Jepun perlu meningkatkan kapasiti keselamatannya," katanya.

ORANG ramai meletakkan bunga dan berdoa di luar Stesen Yamato-Saidaiji  lokasi Shinzo Abe ditembak. FOTO AFP.
ORANG ramai meletakkan bunga dan berdoa di luar Stesen Yamato-Saidaiji lokasi Shinzo Abe ditembak. FOTO AFP.

Ketika pentadbirannya hubungan dua hala Jepun dengan Korea Selatan berada pada tahap terendah ekoran isu eksploitasi seksual semasa perang.

Penganjuran Sukan Olimpik 2020 juga memberi tamparan hebat kepada pentadbiran Abe berikutan pandemik.

Hubungan dengan komuniti Islam

Seorang ahli perniagaan dari Osaka sebelum ini memberitahu Agensi Anadolu peristiwa tsunami Fukushima 2011 mengubah pandangan Abe terhadap komuniti Islam di negara itu.

"Abe melawat banyak kem bantuan dan pusat operasi menyelamat, ramai yang beliau temui adalah orang Islam, terutama dari Pakistan," kata ahli perniagaan itu yang enggan namanya disiarkan.

Selepas Abe kembali sebagai perdana menteri pada 2012, "Pentadbirannya membina ruang solat di sepanjang kawasan rehat di lebuh raya dan di kebanyakan lapangan terbang."

"Abe sentiasa berhubung dengan masyarakat Islam," katanya.

Pentadbiran Abe juga memperuntukkan bilik khusus untuk komuniti Islam di Pusat Bahasa Jepun negara itu.

"Di restoran utama, beliau meminta pemilik menyediakan makanan halal," kata ahli perniagaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 9:21 PM