DR  Mahathir  diberi penerangan oleh Ketua Pegawai Operasi Pos ArRahnu, Abdul Razak Mohd A Kadir (tengah) ketika menerima cenderahati daripada Pos Malaysia berupa setem yang memaparkan potret beliau dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
DR Mahathir diberi penerangan oleh Ketua Pegawai Operasi Pos ArRahnu, Abdul Razak Mohd A Kadir (tengah) ketika menerima cenderahati daripada Pos Malaysia berupa setem yang memaparkan potret beliau dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
ADIE SURI ZULKEFLI dan HAMZAH OSMAN

Langkawi: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Jepun, Shinzo Abe berhubung pelaburan dari negara itu di Malaysia minggu depan.

Dr Mahathir berkata, perbincangan dengan Abe itu akan berlangsung ketika beliau menghadiri Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia ke-24 di Jepun pada 11 dan 12 Jun ini.

Ia lawatan luar negara pertama Dr Mahathir selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh selepas kemenangan mengejutkan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bulan lalu.

“Sebelum ini saya ke Jepun setiap tahun untuk menyampaikan ucapan pada persidangan antarabangsa anjuran Nikkei-Shimbun itu.

“Oleh kerana saya dilantik sebagai Perdana Menteri yang baru, saya juga akan mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Jepun.

“Tapi kita tidak akan bincang perkara yang terlalu penting kerana tumpuan utama adalah mengukuhkan hubungan dua hala. Saya juga akan bercakap sedikit mengenai Dasar Pandang Ke Timur,” katanya selepas mengadakan mesyuarat tertutup dengan anggota Pakatan Harapan Langkawi di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 6:22 AM