ZULKIFLI menyampaikan takzirah kepada sebahagian banduan pada Program Iftar Sahabat Tirai Besi, di Penjara Sg Buloh. FOTO Saifullizan Tamadi
ZULKIFLI menyampaikan takzirah kepada sebahagian banduan pada Program Iftar Sahabat Tirai Besi, di Penjara Sg Buloh. FOTO Saifullizan Tamadi
Mohd Azam Shah Yaacob


GEMBIRA, sedih dan terharu. Itu jawapan banduan akhir Penjara Sungai Buloh tatkala ditanya perasaan mereka apabila diraikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam Majlis Iftar Sahabat Tirai Besi di Penjara Sungai Buloh, semalam.

Rata-rata mereka tidak menduga bukan sekadar dijamu juadah istimewa, iaitu Nasi Arab untuk berbuka puasa, malah buat pertama kali pengurusan penjara tidak menggari tangan mereka sebaik keluar dari sel tahanan.

Banduan akhir mahu dikenali sebagai Shamsul, 65, berkata, 13 tahun dipenjara, ini pertama kali mereka diberi layanan istimewa dan dapat berjumpa sendiri dengan Mufti Wilayah Persekutuan.

Dipenjara kerana terbabit kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Shamsul berkata, perasaannya bercampur baur dan sukar digambarkan.

“Selama 13 tahun dipenjara ini kali pertama saya hadiri majlis berbuka puasa paling menggembirakan.

“Bukan sahaja makanannya istimewa dan tidak ada dalam senarai menu penjara, sebaliknya kami dapat solat berjemaah bersama mufti dengan bebas.

“Syukur pada Allah, walaupun dipenjara kami diberi nikmat serta layanan istimewa ini,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu banduan akhir mahu dikenali sebagai Rashid, 50, berkata Ramadan kali ini terasa cukup bermakna apabila diraikan dalam majlis itu.

“Saya masuk ke sini sejak tahun 2009 dan ini memang Ramadan paling bermakna bagi saya apabila diraikan dalam majlis begini. Alhamdulillah, syukur pada Allah.

“Malah untuk masa akan datang, kami berharap akan ada yang sudi meraikan kami berbuka puasa begini kerana ia satu-satunya cara kami dapat menikmati juadah istimewa yang sudah lama kami tidak rasai sejak dipenjara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 11:19 AM