Mufti Wilayah Persekutuan Sahibus Samahah Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (kiri) bersama dengan sebahagian banduan pada Program Iftar Sahabat Tirai Besi di Penjara Sg. Buloh. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.
Mufti Wilayah Persekutuan Sahibus Samahah Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (kiri) bersama dengan sebahagian banduan pada Program Iftar Sahabat Tirai Besi di Penjara Sg. Buloh. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.
ZULKIFLI (kiri) bersama sebahagian banduan pada Program Iftar Sahabat Tirai Besi di Penjara Sg Buloh. FOTO Saifullizan Tamadi
ZULKIFLI (kiri) bersama sebahagian banduan pada Program Iftar Sahabat Tirai Besi di Penjara Sg Buloh. FOTO Saifullizan Tamadi
Mohd Azam Shah Yaacob


SELEPAS sekian lama tidak menjamah hidangan lazat, Nasi Arab berlauk kari kambing dan ayam masak merah menjadi menu istimewa bagi 44 banduan di Penjara Sungai Buloh, semalam.

Mereka adalah 32 banduan akhir serta masing-masing enam tahanan SOSMA dan tahanan reman dijamu dalam Majlis Iftar Sahabat Tirai Besi Bersama Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di penjara itu.

Dalam majlis itu, riak ceria dapat dilihat di wajah banduan berkenaan yang buat pertama kalinya mendapat layanan istimewa disantuni oleh Zulkifli sendiri.

Malah, ketika azan berkumandang menandakan masuknya waktu Maghrib dan waktu berbuka puasa, segelintir banduan berkenaan kelihatan sebak dan mengalirkan air mata.

Difahamkan, buat pertama kalinya sempena kedatangan Mufti Wilayah Persekutuan itu, mereka ‘bebas’ apabila dibenarkan berjalan tanpa digari tangan sesama mereka.

Buat pertama kali juga, mereka diberi makanan secara berhidang bersama rombongan mufti termasuk menunaikan solat Maghrib, Isyak serta tarawih secara berjemaah.

Zulkifli berkata, majlis berkenaan diadakan di tiga lokasi serentak di Penjara Sungai Buloh serta di Penjara Kajang dan Penjara Wanita Kajang.

Katanya, iftar itu diadakan sebagai sebahagian usaha dakwah Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan selaras dengan syariat Islam yang menegaskan tiada diskriminasi terhadap golongan tertentu dan banduan juga berhak disantuni.

“Islam adalah agama indah, biarpun seseorang itu bergelar banduan, mereka perlu disantuni agar kembali ke fitrah asal bahawa masih ada yang mengambil berat serta mahu membantu mereka kembali ke jalan benar.

“Jadi, menerusi dakwah ini kami berharap dapat membantu menyedarkan mereka belum terlambat untuk berubah serta bertaubat selagi masih bernyawa.

“Malah saya sendiri sangat berharap penjara menjadi tempat bagi mereka mengubah kehidupan menjadi manusia yang lebih baik berbanding sebelumnya,” katanya ketika ditemui dalam majlis itu.

Hadir sama Pengarah Penjara Selangor Abd Kadir Rais dan Pengarah Penjara Sungai Buloh Rosoman Abu Bakar @ Che Din.

Zulkifli berkata, beliau berterima kasih pada Jabatan Penjara Malaysia berikutan memberi kelonggaran kepada banduan berkenaan untuk merasai dan menghayati makna Ramadan sebenar.

Katanya, selain menjamu banduan akhir beragama Islam, juadah sama juga dijamu pada banduan akhir yang menganut agama lain.

Sementara itu, Rosoman berkata, 44 banduan berkenaan memang tidak mengetahui akan menerima layanan istimewa daripada rombongan diketuai Mufti Wilayah Persekutuan.

Katanya, disebabkan itu banduan berkenaan cukup terharu apabila diraikan bersama tanpa terasa seperti diasingkan.

“Lazimnya, banduan akhir itu akan dipakai gari di tangan sesama mereka sebaik sahaja keluar dari sel tahanan masing-masing.

“Namun, istimewa untuk majlis dihadiri Dr Zulkifli, kami mengambil keputusan tidak memakaikan gari pada tangan mereka (banduan) sebaliknya dengan mengetatkan kawalan secara maksimum bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata, sangat berbesar hati apabila Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menganjurkan majlis seperti itu dan sentiasa terbuka jika ada pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana syarikat serta orang perseorangan mahu menganjurkan program sedemikian.

Katanya, di Penjara Sungai Buloh terdapat 2,965 banduan beragama Islam dan bakinya 1,739 banduan menganut agama lain.

“Sepanjang Ramadan, ini kali keempat Penjara Sungai Buloh menerima penganjuran majlis berbuka puasa daripada pihak luar.

“Kali pertama ia dianjurkan oleh Inspirasi Muhibah India Muslim Malaysia (IMIM) bersama Persatuan Perintis Malabari Malaysia (PPMM), kali kedua dianjurkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan kali ketiga oleh Malaysia Takaful Association (MTA).

“Malah, pada masa akan datang kami sentiasa mengalu-alukan jika ada pihak mahu atau berhasrat untuk menganjurkan majlis seperti ini termasuk aktiviti agama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 8:55 AM