ALIF (dua dari kiri) terharu mendapat jemputan daripada Dr Zulkifli (dua dari kanan) menyertai programnya melawat Penjara Sungai Buloh. FOTO Instagram Alif Satar
ALIF (dua dari kiri) terharu mendapat jemputan daripada Dr Zulkifli (dua dari kanan) menyertai programnya melawat Penjara Sungai Buloh. FOTO Instagram Alif Satar
Sudirman Mohd Tahir


"INI pertama kali saya menjejakkan kaki ke penjara dan berjumpa banduan akhir. Ia pengalaman yang tidak dapat saya lupakan sampai bila-bila," kata penyanyi Alif Satar yang mengikuti Majlis Iftar Sahabat Tirai Besi Bersama Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri di Penjara Sungai Buloh, semalam.

Alif, 29, atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar berkata, dia teruja, terharu dan berbesar hati mendapat jemputan daripada mufti apatah lagi majlis itu dibuat pada 10 malam akhir Ramadan.

Menurutnya, dia berpeluang bertemu empat mata dan berkongsi cerita dengan banduan jenayah berprofil tinggi.

"Saya dapat jemputan pada Selasa lalu. Alhamdulillah, jadual saya mengizinkan. Disebabkan terlalu teruja, saya ingat kelmarin adalah Khamis.

"Apabila melangkah masuk ke penjara, saya berasa gementar dan takut. Saya tak tahu nak bertanya apa kerana bimbang reaksi bakal diberikan.

"Pertemuan dengan mereka membuatkan saya buka mata dan hati. Banyak yang kami bualkan. Malah, saya tak tanya pun, mereka yang bercerita sampai menangis.

“Daripada rasa takut dan gementar pada awalnya, terus hilang. Seolah-olah macam bersembang dengan kawan," katanya kepada Harian Metro.

ALIF teruja dapat bertemu mata dan berkongsi cerita dengan banduan di Penjara Sungai Buloh. FOTO Instagram Alif Satar
ALIF teruja dapat bertemu mata dan berkongsi cerita dengan banduan di Penjara Sungai Buloh. FOTO Instagram Alif Satar

Alif yang juga pelakon drama Pia berkata, ada antara banduan akhir itu masih muda daripadanya dan tidak kurang juga yang sudah 18 tahun berada dalam penjara itu.

Berkongsi mengenai lawatan itu, Alif turut berkesempatan menunaikan solat Tarawih bersama banduan yang diimamkan oleh anak pelakon Norman Hakim iaitu Mohamed Danish Hakim.

"Terima kasih kepada pihak penjara yang menjaga dan memberi layanan baik sepanjang berada di sana. Terima kasih tidak terhingga kepada mufti atas jemputan ini.

"Bukan saja dapat berbuka puasa dan solat Tarawih bersama, tapi kami turut melaungkan takbir raya bersama bagi memberikan 'suasana' kepada banduan," katanya.

Selain Alif, turut menyertai majlis itu adalah pelakon, Norman Hakim.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 4:41 PM