SAMPUL raya yang tular di laman sosial. FOTO ihsan pembaca
SAMPUL raya yang tular di laman sosial. FOTO ihsan pembaca
Nurul Fhatihah Zakinan


SEBAHAGIAN daripada 11,000 sampul duit raya Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) yang disalah cetak dipercayai diedar oleh pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mencetuskan isu perkauman.

Yang Dipertua MPAG, Zamzuri Ariffin berkata, pihaknya sudah menarik semula semua sampul raya yang memaparkan corak berulang bermotifkan babi dan wajah seakan penganut agama tertentu, sejak pagi semalam, namun sebahagiannya sudah diedarkan kepada pegawai dan kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Ketika membuat semakan pada sampul raya itu, memang tidak tidak ada masalah pada sampul berkenaan kerana tidak nampak apa-apa (lakaran babi).

“Apabila pegawai menunjukkan hasil (siap), saya terus arahkan untuk menarik balik semua tapi dimaklumkan ada yang sudah diedarkan kepada pegawai dan mungkin mereka juga tidak menyedarinya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sampul duit raya berwarna merah memaparkan lakaran motif babi dan wajah penganut agama, selain terdapat logo MPAG itu mula tular di laman sosial dan aplikasi Whatsapp sejak malam tadi sehingga mengundang kecaman netizen.

Zamzuri berkata, sampul duit raya yang tidak sempat ditarik semula itu dipercayai digunakan oleh pihak yang ingin meraih perhatian dengan menularkannya di media sosial.

“Sejurus penarikan semula sampul salah cetak itu, kita mencetak semula yang baru,” katanya yang sedang menyiasat dalang penyebaran sampul salah cetak berkenaan sehingga ke akar umbi.

Sementara itu, laman Facebook rasmi MPAG juga membuat permohonan maaf mengenai isu itu.

“Pihak majlis memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 3:57 PM