IMEJ pelbagai bangunan lama di muka sampul duit raya dilakar Aisyamuddin. FOTO Ahmad Ismail
IMEJ pelbagai bangunan lama di muka sampul duit raya dilakar Aisyamuddin. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


SERINGKALI sampul duit raya dianggap tidak bernilai dan dibuang begitu saja selepas sampul dibuka dan wang di dalamnya diambil.

Tanggapan itu perlu diubah berikutan sampul duit raya mampu dijadikan medium pengetahuan sejarah, selain dapat memartabatkan tulisan jawi kepada penerima ‘angpau’ dalam kalangan kanak-kanak.

Pelukis grafik sampul duit raya, Aisyamuddin Latip, 24, berkata, persepsi lama itu perlu ditukar, bahkan elemen kreatif diperlukan bagi memberi nafas baru kepada fungsi sampul duit.

“Banyak sampul duit raya mempunyai grafik tidak menarik dan hanya mengandungi ucapan selamat hari raya semata-mata.

“Kita perlu menukar minda supaya golongan sasar penerima sampul raya tidak sekadar melihat isinya (duit), tetapi mendapat maklumat tertera pada sampul duit terbabit,” katanya di kediamannya di bandar Segamat di sini, semalam.

Katanya, membuang sampul duit raya mungkin sudah terbiasa bagi kanak-kanak memandangkan tiada sifat unik untuk dijadikan koleksi.

Katanya, melihat kepada senario itu, dia terpanggil untuk melakukan inovasi terhadap sampul duit raya.

“Saya meletakkan grafik pelbagai lakaran bangunan lama bersejarah dan peristiwa berlaku di sekitar Segamat.

“Ia diharap dapat meningkatkan pengetahuan berkaitan sejarah melalui penggunaan sampul duit raya,” katanya.

Antara bangunan lama dilakar pada sampul duit raya dihasilkan adalah bangunan asal Masjid Jamek Segamat pada 1918 dan bandar Segamat yang dulu dibina masyarakat Kampung Rantau Panjang ketika itu.

“Ada juga sejarah Sekolah Tinggi Segamat (STS) yang wujud sejak 1930 dan suatu ketika dikenali sebagai Goverment English School (GES),” katanya.

Menurutnya, dia mengutamakan tulisan jawi pada sampul duit raya, selain kepelbagaian peristiwa di Segamat yang diperoleh daripada buku di perpustakaan, pensyarah akademik, pihak awam selain menyemaknya di laman web.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 4:00 AM