Redzuan Muharam


Pemberian sampul berisi duit raya ketika Aidilfitri sudah menjadi tradisi sebagai tanda ingatan kepada penerima khasnya kanak-kanak.

Nilai sumbangan itu bergantung kepada individu namun ia bukanlah ukuran kerana apa yang lebih penting adalah ikhlas dengan niat untuk bersedekah.

Meskipun duit itu lebih menarik perhatian penerimanya namun sampul turut menjadi buruan terutama dalam kalangan pengumpul tegar.

Seorang daripadanya adalah Mohd Nasir Mohd Daud, 43, yang mula berjinak-jinak dengan hobi itu sejak 1986 iaitu ketika berumur 11 tahun.

Menurut Mohd Nasir, pada mulanya, ia sekadar hobi untuk mengisi masa lapang namun kepuasan peribadi yang diperoleh menjadikannya serius menambah koleksi sedia ada.

“Boleh dikatakan, saya sudah terdedah dengan hobi mengumpul sejak kecil bermula dengan menyimpan koleksi setem.

“Namun, hobi mengumpul sampul duit raya lebih dekat dengan diri saya dan mungkin sebab itu, ia bertahan hingga ke hari ini selain mendapat sokongan isteri.

“Setakat ini, saya sudah mengumpul kira-kira 4,600 sampul duit raya pelbagai tema dan corak antaranya bermotifkan organisasi korporat, rumah kampung, makanan tradisi seperti ketupat, lemang dan dodol serta permainan tradisional iaitu wau,” katanya yang juga bapa kepada tiga anak itu.

Katanya, sebahagian besar koleksi sampul duit raya itu diperoleh daripada bank sementara ada juga yang dibeli daripada pengumpul lain.

Sampul itu dibeli dengan harga serendah RM5 hingga RM10 dan paling mahal RM48 untuk satu set bergantung kepada jenisnya.

“Kebiasaannya, saya akan ke bank untuk mendapatkan sampul berkenaan namun ada juga pemberian rakan selain dibeli daripada pengumpul lain.

“Istimewanya, koleksi saya tidak terhad kepada sampul keluaran tempatan semata-mata kerana ada juga daripada luar negara contohnya Brunei, Indonesia, Filipina, Vietnam, Thailand, Taiwan, Hong Kong, China dan Korea Selatan,” katanya yang bekerja sebagai pegawai teknologi maklumat.

Mohd Nasir berkata, selain mengumpul, dia turut memegang jawatan Presiden Kelab Pengumpul Sampul Duit Raya (KPSDR) sejak lima tahun lalu.

Menerusi kelab berkenaan, Mohd Nasir mewujudkan kumpulan di Facebook bagi membolehkan ahli berinteraksi sesama sendiri selain platform untuk berkongsi koleksi masing-masing.

“Tujuan penubuhan kelab adalah menghimpunkan pengumpul dari seluruh negara yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur.

“Selain itu, ia juga bagi memudahkan kami merancang aktiviti bersama pengumpul tidak kira yang berskala kecil mahupun besar.

“Sebagai pengasas, saya gembira kerana dapat menyediakan plafform ini kerana kebanyakan pengumpul beranggapan mereka bersendirian sedangkan ramai berkongsi hobi yang sama,” katanya yang sentiasa memastikan adanya penganjuran aktiviti tahunan bagi kelab berkenaan.

Berkongsi perancangan, Mohd Nasir berkata, beliau kini dalam usaha untuk menjalin kerjasama dengan Muzium Kesenian Asia bagi menganjurkan aktiviti bersesuaian untuk kelab.

Katanya, menerusi kerjasama itu, ahli berpeluang mengembangkan hobi mereka umpamanya dengan menyertai siri pameran untuk berkongsi koleksi yang ada di dalam simpanan mereka.

“Menariknya hobi ini kerana ia tidak memerlukan kos yang mahal selain mudah didapati lebih-lebih lagi dengan adanya media sosial.

“Pada masa sama, ia boleh menjana pendapatan jika pengumpul bijak mencari peluang dengan menjual koleksi mereka kepada yang berminat.

“Disebabkan itu, saya berharap lebih ramai lagi golongan muda yang aktif mengumpul sampul duit raya kerana mereka adalah pelapis dalam memastikan hobi ini tidak pupus dan ada kesinambungannya,” katanya.

Sebagai pengumpul, Mohd Nasir berharap masyarakat lebih menghargai sampul duit raya dengan tidak membuang sebaliknya memberikannya kepada yang berminat.

Malah, Mohd Nasir turut mengalukan sumbangan sampul duit raya daripada mana-mana pihak untuk menambah koleksi simpanan kelab.

“Sampul ini bukan saja meninggalkan 1001 nostalgia buat saya tapi semua pengumpul kerana ada yang mula mengumpul sejak kecil lagi.

“Jadi, setiap sampul berkenaan mempunyai nilai sentimental tersendiri dan itu sebabnya saya tidak pernah terfikir untuk mengucapkan selamat tinggal kepada hobi ini.

“Ikutkan, saya pernah mengumpul tiket bas namun terhenti selepas koleksi itu hilang dan ia tidak serius seperti hobi ini,” katanya.

Sementara itu, Zaida Mohd Dagang, 49, turut aktif mengumpul sampul duit raya dan menariknya, dia berkongsi hobi berkenaan dengan anak bongsunya, Wan Luqman Hafiz Wan Ruzli Muzaffar, 9.

Guru tingkatan enam itu berkata, koleksi berkenaan disimpan rapi di dalam album gambar dan kini mencecah sebanyak 1000 keping sampul duit raya.

“Saya mula berjinak-jinak dengan hobi ini sejak 2015 selepas tertarik dengan coraknya yang pelbagai dan tak sangka, ia menjadi ikutan anak bongsu cuma dia lebih cenderung dengan sampul bermotifkan kartun.

“Kebiasaannya, kami akan bersama-sama mencari koleksi sampul duit raya dan selalunya mula sibuk pada awal Ramadan.

“Sejujurnya, hobi ini memberi saya kepuasan terutama sekali apabila dapat melengkapkan set sampul raya yang diinginkan,” katanya yang berkhidmat sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puchong, Selangor itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Jun 2018 @ 4:39 AM
ZAIDA menunjukkan set sampul duit raya miliknya.
ZAIDA menunjukkan set sampul duit raya miliknya.
ZAIDA berkongsi keunikan koleksi sampul duit rayanya.
ZAIDA berkongsi keunikan koleksi sampul duit rayanya.
ZAIDA bersama suami , Wan Ruzli Muzaffar Wan Salaidin (kanan) dan dua anaknya, Wan Luqman Haziem (dua dari kiri) dan Wan Luqman Hafiz (dua dari kanan) meluangkan masa menyusun sampul duit raya.
ZAIDA bersama suami , Wan Ruzli Muzaffar Wan Salaidin (kanan) dan dua anaknya, Wan Luqman Haziem (dua dari kiri) dan Wan Luqman Hafiz (dua dari kanan) meluangkan masa menyusun sampul duit raya.
MOHD Nasir menunjukkan sebahagian koleksi sampul duit raya miliknya.
MOHD Nasir menunjukkan sebahagian koleksi sampul duit raya miliknya.