Mohd Halim (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada  Mohamad Saifol Sadiman  di Kampung Kangkar Tebrau, Johor Bahru.
Mohd Halim (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Mohamad Saifol Sadiman di Kampung Kangkar Tebrau, Johor Bahru.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Seramai 153 keluarga yang terjejas akibat ribut melanda beberapa kawasan perkampungan dan perumahan sekitar Tebrau, di sini, pada 7 Jun lalu menerima bantuan ihsan daripada kerajaan yang membabitkan kos RM76,500.

Pegawai Daerah Johor Bahru, Mohd Halim Hasbullah berkata, kerajaan negeri menghargai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Johor merangkap sekretariat pengurusan bencana di peringkat daerah dan negeri serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kerana menguruskan permohonan bantuan wang ihsan bagi mangsa ribut berkenaan.

Beliau berkata, sumbangan itu disalurkan kepada mangsa di beberapa kawasan termasuk di Kangkar Tebrau, Kampung Bunga Ros, Kampung Seri Purnama, Kampung Ulu Pandan, Taman Bunga Ros dan Taman Delima.

Menurutnya, sumbangan itu sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab Kerajaan Pusat kepada mangsa serta meringankan beban penduduk.

“Pada tahun lalu, bantuan ihsan diagihkan kepada 169 mangsa banjir di Johor Bahru membabitkan RM84,500. Tahun ini, hingga Oktober lalu trend penyampaian wang ihsan berubah kerana bukan hanya mangsa banjir menerima bantuan malah mangsa ribut dan kebakaran.

“Secara keseluruhannya seramai 247 keluarga mangsa bencana di Johor Bahru menerima bantuan berkenaan membabitkan agihan sejumlah RM123,500,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2016 @ 8:11 AM