GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


“SAYA bukan orang senang... saya cuma nak balik dokumen peribadi tambahan wang dalam beg yang ketika itu pun hanya ada RM70 sahaja dan berharap peragut itu akan segera ditangkap,” kata wanita ingin dikenali sebagai Nora, 42, yang diragut di kawasan Lebuhraya Darulaman, Alor Setar, malam tadi.

Dalam kejadian 12.45 tengah malam itu, dia bersama anak sulung lelaki berusia 20 tahun berjalan ke keretanya selepas baru menyaksikan perlawanan suku akhir Piala FA antara Kedah dengan PKNS FC di Stadium Darulaman.

Nora berkata, ketika itu, anaknya berjalan di hadapan sebelum tiba-tiba seorang lelaki yang menunggang motosikal datang dari arah hadapan terus merentap beg tangannya.

“Kejadian itu berlaku terlalu pantas dan saya cuba memegang erat beg itu namun gagal apabila tali itu terputus sebelum dia melarikan diri.

“Saya kemudian terus menjerit meminta pertolongan orang ramai yang kemudian cuba mengejarnya namun gagal apabila dia dapat melarikan diri,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Dia yang berasal dari Guar Chempedak, Yan itu berkata, kebiasaannya dia akan meletak kenderaan di kawasan restoran makanan segera berhampiran stadium itu setiap kali menonton perlawanan bola sepak.

“Bagaimanapun malam tadi saya terpaksa meletakkan kenderaan jauh dari stadium itu kerana ada bazar Ramadan menyebabkan kereta penuh di kawasan itu.

“Saya tidak sangka kejadian ini menimpa diri sendiri dan masih trauma dengan apa yang berlaku namun berharap lelaki itu segera ditahan supaya tiada orang lain pula menjadi mangsa,” katanya.

Menurutnya, mujur orang ramai yang simpati kemudian membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar untuk membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Ketika kejadian mangsa baru selesai menyaksikan perlawanan bola sepak sebelum diragut suspek yang kemudian melarikan diri melalui lorong di kawasan itu.

“Mangsa kerugian RM900 selepas kehilangan beg tangan mengandungi dokumen peribadi, dua keping kad sensor kereta, telefon bimbit dan wang tunai RM70.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 1:52 PM