ANGGOTA APM mengangkat mangsa lemas di Pantai Tengah, Langkawi untuk dihantar ke Hospital Langkawi, hari ini. FOTO ihsan APM.
ANGGOTA APM mengangkat mangsa lemas di Pantai Tengah, Langkawi untuk dihantar ke Hospital Langkawi, hari ini. FOTO ihsan APM.
Hamzah Osman


HASRAT tiga sekeluarga pelancong Timur Tengah menikmati keseronokan mandi di Pantai Tengah, Langkawi berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka lemas, manakala dua lagi terselamat, hari ini.

Dalam kejadian 3 petang itu, mangsa, Husain Musaad Alawfi, 51, ditemui lemas pada 6 petang berhampiran sebuah resort di kawasan pantai yang menjadi tumpuan pelancong itu.

Terdahulu, dua mangsa dikenali Yasir Hussain Aloufi, 21, dan Abdul Rahman, 13, yang turut dilaporkan hilang ditemui selamat pada 3.22 petang.

Pegawai Bencana Operasi dan Latihan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Langkawi, Leftenan (PA) Azamshah Apearal, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu 3.18 petang.

“Sejurus itu, seorang pegawai dan sembilan anggota APM dikejarkan ke lokasi kejadian bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Laporan awal diterima menyatakan tiga lelaki sekeluarga juga pelancong Arab hilang dihanyutkan ombak ke tengah laut akibat cuaca buruk,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Azamshah berkata, mangsa pertama dan kedua ditemui masih sedar oleh pasukan penyelamat berhampiran tempat kejadian pada 3.22 petang.

“Seterusnya mangsa ketiga ditemui lemas pada 6 petang pada jarak kira-kira 30 meter dari kedudukan mangsa pertama dan kedua ditemui.

“Berikutan itu, operasi SAR ditamatkan pada 6.01 petang, manakala mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian bendera merah telah dinaikkan berikutan arus laut deras dan cuaca buruk di sepanjang Pantai Tengah dan Pantai Chenang sejak awal pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Langkawi untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 10:22 PM