ULAR tedung selar pelbagai saiz ditemui dalam tangki kumbahan. FOTO ihsan APM
ULAR tedung selar pelbagai saiz ditemui dalam tangki kumbahan. FOTO ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


EMPAT anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berdepan cabaran menangkap empat ular tedung selar pelbagai saiz di Langkawi, semalam.

Pegawai Bencana Operasi dan Latihan APM Langkawi, Leftenan (PA) Azamshah Apearel berkata, empat ular tedung selar itu ditemui dalam tangki kumbahan yang belum digunakan sepenuhnya lagi di inap desa berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.45 petang semalam dan tiba di lokasi pada 7.15 petang namun ketika itu tidak dinyatakan jumlah dan jenis spesis berkenaan.

“Sebaik menghampiri tangki berkenaan, anggotanya melakukan pemeriksaan dan mendapati terdapat empat ular tedung selar dalam tangki berkenaan.

“Dengan menggunakan peralatan dan pakaian keselamatan, anggota kami mengambil masa beberapa minit untuk menangkap ular tedung selar berkenaan sebelum operasi tamat pada 7.25 malam,” katanya.

Azamshah berkata, berkata, cuaca panas ketika itu menyebabkan kehadiran ular semakin bertambah di pulau itu dan sepanjang bulan ini, 40 ular pelbagai spesisditangkap anggotanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 9:41 AM