ANGGOTA Pertahanan Awam Malaysia Langkawi memberi burung Baji (Budgie) makan dedak di tangan selepas majlis penyerahan makanan haiwan di Taman Hidupan Liar Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
ANGGOTA Pertahanan Awam Malaysia Langkawi memberi burung Baji (Budgie) makan dedak di tangan selepas majlis penyerahan makanan haiwan di Taman Hidupan Liar Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
Hamzah Osman


ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) Langkawi menyumbang 80 kilogram makanan haiwan kepada Taman Hidupan Liar Langkawi (THLL), hari ini.

Ini berikutan lebih 150 spesies haiwan di zoo itu berdepan catuan makanan sejak 18 Mac lalu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Difahamkan, haiwan hanya diberi makan sekali sehari, berbanding dua kali sebelum ini kerana pendapatan zoo bergantung kepada tiket masuk pengunjung.

Sumbangan lobak, ubi keledek, dedak dan ikan itu disempurnakan Pegawai Bencana Operasi dan Latihan APM Langkawi, Leftenan (PA) Azamshah Apearal.

Azamshah berkata, pihaknya terpanggil membantu pengurusan zoo itu yang kini mengalami sifar pendapatan akibat tiada pengunjung.

"Difahamkan, pendapatan zoo ini yang bergantung 100 peratus kepada tiket masuk pengunjung dari dalam dan luar negara terjejas teruk akibat PKP.

"Jadi, kami anggota APM Langkawi sepakat mengumpul dana untuk membeli makanan haiwan bagi memastikan kelangsungan hidup haiwan di sini," katanya.

Katanya, pihaknya bersedia menjadi urusetia bagi mengumpul barangan basah daripada orang ramai untuk disumbangkan sebagai makanan haiwan di zoo itu.

Sementara itu, Pengurus Besar THLL, Teoh Cheng Kung berkata, dia rasa teruja dan berterima kasih atas bantuan yang diberikan agensi keselamatan itu.

"Sebelum ini, kami turut menerima sumbangan daripada badan bukan kerajaan (NGO), syarikat dan individu yang prihatin," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 2:14 PM