CHEF Dave (kanan) dan adiknya, M Kugeneswari tidak ketinggalan berpuasa sejak Ramadan pertama. FOTO Ihsan M Kalidevan
CHEF Dave (kanan) dan adiknya, M Kugeneswari tidak ketinggalan berpuasa sejak Ramadan pertama. FOTO Ihsan M Kalidevan
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: "Saya tidak anggap berpuasa sesuatu yang membebankan kerana sudah terdedah dengannya sejak kecil," kata M Kalidevan atau mesra disapa Chef Dave.

Chef Dave, 31, dan adiknya, M Kugeneswari, 26, berpuasa sejak hari pertama Ramadan lagi, malah turut berkongsi rutin bersahur dan berbuka puasa menerusi siaran langsung di TikTok.

Gelagat dan kesungguhan dua beradik itu menarik perhatian pengguna TikTok yang rata-ratanya memberi galakan untuk terus berpuasa sehingga hujung Ramadan.

Bercerita lanjut, Chef Dave yang menetap di Jalan Ipoh di sini, berkata, amalan berpuasa ketika Ramadan bukan asing baginya.

"Ikutkan, saya sudah terdedah dengan amalan berpuasa sejak kecil lagi jika mengikut ajaran Hindu.

"Cuma, saya mula berpuasa pada Ramadan ketika berumur 16 tahun kerana ingin merasai pengalaman seperti rakan beragama Islam.

"Kebetulan, saya ambil mata pelajaran Tasawur Islam di sekolah, jadi tahu mengenai kewajipan berpuasa untuk umat Islam, malah itu juga yang mendorong saya mencuba dan keluarga tidak menghalang.

"Walaupun tiada pengalaman, saya dapat berpuasa penuh pada hari pertama dan seterusnya. Saya tidak terfikir hendak mengalah atau puasa separuh hari sebaliknya teruja dan seronok sangat apabila dapat bertahan sehingga waktu berbuka," katanya dihubungi Harian Metro.

Menurut Chef Dave, amalan berpuasa pada Ramadan tidak diteruskan selepas menyambung pengajian di kolej.

Bagaimanapun, ia dilakukan semula sejak tiga tahun lalu dan berterusan sehingga kini.

"Sebanyak 85 peratus pengikut saya di TikTok beragama Islam jadi mereka kerap meminta saya berkongsi resipi makanan setiap kali Ramadan.

"Jadi, apa salahnya saya berpuasa dan ia bukan kerana mereka (pengikut) atau paksaan sesiapa tetapi keinginan sendiri, sama seperti ketika kali pertama berpuasa 15 tahun lalu.

"Lagipun, banyak kelebihan berpuasa, antaranya menyihatkan badan dan mengingatkan kita supaya jadi manusia bersyukur serta sentiasa mengingati golongan kurang bernasib baik yang tidak mampu menjamah makanan," katanya yang menjana pendapatan dengan menjual makanan kesihatan menerusi platform dalam talian.

Lazimnya, Chef Dave lebih selesa memasak sendiri di rumah untuk sahur dan berbuka terutama pada 15 hari pertama Ramadan.

"Saya tidak makan nasi pada pagi, jadi hanya sahur dengan minum susu kurma atau susu soya.

"Untuk berbuka pula, saya akan masak makanan kampung dan makan ulam-ulaman serta sambal.

"Saya dan adik memang akan bersiaran langsung di TikTok ketika sahur serta berbuka. Setiap kali bersiaran, akan ada pengguna TikTok yang doakan saya dan adik dapat hidayah namun kami tidak tersinggung kerana sudah lali dengannya," katanya.

Sementara itu, Kugeneswari berkata, dia mengikut abangnya berpuasa sejak tahun lalu kerana mereka tinggal bersama.

Katanya, dia melakukannya kerana mahu merasai pengalaman dan suasana berpuasa ketika Ramadan.

"Sebenarnya, saya seorang yang susah untuk mengawal nafsu makan namun cuba melatih diri berpuasa sejak tahun lalu selepas lihat abang melakukannya.

"Memandangkan kami tinggal bersama, jadi agak pelik kalau saya makan di luar, maka saya pun ikut berpuasa sama.

"Masuk tahun kedua ini, saya sudah dapat sesuaikan diri. Terharu juga kerana ramai pengikut Muslim beri sokongan kepada saya dan abang setiap kali bersiaran langsung," katanya yang menjadi pengurus abangnya dan juga penuntut separuh masa Ijazah Sarjana Muda Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Asia di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2022 @ 7:45 AM