KEADAAN Honda City merempuh dinding kaca. FOTO Ihsan Polis.
KEADAAN Honda City merempuh dinding kaca. FOTO Ihsan Polis.
Junaidi Ladjana


LELAKI mahu mengeluarkan wang di mesin ATM sebuah bank di pekan Donggongon, Penampang, berdepan detik cemas apabila kereta dipandu merempuh dinding kaca ‘Self Service Terminal (SST)’ premis berkenaan, 8.11 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, tidak ada sebarang laporan membabitkan kecederaan diterima pihaknya setakat ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati lelaki berusia 44 tahun memandu Honda City ke premis berkenaan untuk mengeluarkan wang.

“Dia mahu memasuki petak parkir, namun tertekan pedal minyak menyebabkan Honda City dipandu terlajak dan melanggar dinding kaca.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada orang awam,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Haris berkata, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan bebas daripada pengaruh alkohol dan siasatan dijalankan mengikut Peraturan 10 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 2:30 PM