Mangsa cedera ditangan selepas cuba disamun tiga lelaki yang juga penumpangnya. FOTO Juwan Riduan
Mangsa cedera ditangan selepas cuba disamun tiga lelaki yang juga penumpangnya. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


TINDAKAN seorang pemandu teksi membunyikan hon menyelamatkannya daripada menjadi mangsa samun tiga lelaki yang juga penumpangnya dalam kejadian di pekan Donggongon di Penampang, pagi tadi.

Namun dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa berusia 76 tahun cedera ringan di pergelangan tangan dan lengannya.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati mangsa menumpangkan tiga lelaki dari Kampung Air, Kota Kinabalu ke pekan Donggongon.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian berhampiran Pasar Awam Donggongon, mangsa meminta wang tambang daripada penumpang terbabit.

"Tiba-tiba seorang suspek duduk di bahagian belakang bertindak mencekik mangsa serta meminta supaya menyerahkan dompet," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, susulan itu mangsa menjerit meminta tolong dan membunyikan hon kereta menyebabkan insiden itu disedari orang ramai.

"Ketiga-tiga suspek melarikan diri ke arah pekan Donggongon. Usaha sedang dijalankan termasuk mengenal pasti identiti suspek terbabit,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 8:30 PM