Antara rumah yang rosak selepas ribut melanda Kampung Lubuk Kepong. FOTO Ahmad Ismail
Antara rumah yang rosak selepas ribut melanda Kampung Lubuk Kepong. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail

[email protected].

TIGA belas keluarga di Kampung Lubuk Kepong, Segamat berdepan dugaan beberapa hari sebelum Ramadan apabila atap dan dinding rumah diterbangkan ribut semalam.

Penduduk, Wan Jalaludin Ab Raub, 29, berkata, kejadian berlaku 9.30 malam ketika dia membeli barangan untuk menyambut Ramadan tidak lama lagi.

Katanya, ketika itu dia menerima panggilan telefon jiran yang memaklumkan kejadian sebelum bergegas pulang serta memastikan keselamatan neneknya, Siti Rajamah Abdullah, 83.

“Saya bimbangkan keselamatan nenek kerana dia berseorangan ketika kejadian.

“Sebaik tiba di rumah, nenek yang kurang sihat akibat sakit tua berada di dapur.

“Nenek memberitahu, beberapa zink di ruang tamu serta dinding papan diterbangkan ribut.

“Pada masa sama kedengaran jiran melaungkan azan dalam usaha memohon bantuan Allah SWT,” katanya. Menurutnya, kejadian berlaku hampir setengah jam dan mereka kerugian kira-kira RM7,000 selepas bumbung, dinding, peralatan elektrik serta barangan untuk persiapan Ramadan rosak dalam kejadian itu.

Sementara itu Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Segamat, Kepten (PA) Mohd Nazlan Ruslan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 9.45 malam.

“Hasil pemeriksaan kami dapati 13 rumah membabitkan 37 mangsa terdiri daripada bayi hingga wanita 80-an terjejas akibat kejadian itu.

“Sebaik tiba, kami membantu penduduk keluar dari kawasan bagi mengelak kejadian tidak diingini dan hanya menggunakan lampu suluh kerana bekalan elektrik diputuskan.

“Kami juga menasihatkan mangsa membuat laporan polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Segamat untuk mendapatkan bantuan sewajarnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 7:07 PM