ANUAR Ahmad menunjukkan bumbung kediaman yang diterbangkan ribut di Taman Seri Cahya Buloh Kasap.  FOTO Ahmad Ismail
ANUAR Ahmad menunjukkan bumbung kediaman yang diterbangkan ribut di Taman Seri Cahya Buloh Kasap. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail

[email protected].

“SAYA hanya menadah tangan dan meneguk air tanda syukur, akhirnya hujan selepas kemarau hampir dua bulan,” kata Anuar Ahmad, 44, mangsa ribut di Taman Seri Cahaya Buloh Kasap, Segamat.

Anuar berkata, walaupun mengalami kerugian lebih RM5,000 berikutan 25 keping atap asbestos rumah diterbangkan dalam kejadian itu, dia sekeluarga bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku dan kawasan rumahnya dibasahi hujan.

Anuar yang bekerja sebagai buruh berkata, ketika kejadian 8.20 malam itu dia baru sahaja pulang ke rumah selepas menunaikan solat Maghrib di masjid berhampiran.

“Sebaik saya meletak motosikal di parkir rumah, saya melihat atap diterbangkan angin sebelum hujan lebat diikuti petir di kawasan berhampiran selama hampir 20 minit.

“Ribut hanya berhenti apabila azan isyak berkumandang dari masjid berhampiran, saya memanggil isteri, Ros Hamidah Mahad, 48 dan anak lelaki berusia 19 tahun, syukurlah mereka selamat tanpa sebarang kecederaan.

“Mujur tiada kemalangan jiwa dan pelbagai peralatan di dalam rumah tidak terjejas,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Menurutnya, cuaca panas menyebabkan bahang di dalam rumah dan kawasan sekitar hingga menyukarkan mereka melakukan aktiviti harian dengan selesa.

Katanya, ia adalah kejadian ribut pertama berlaku kepada mereka sejak tinggal di rumah berkenaan lebih 20 tahun lalu.

“Dinding bilik dan ruang tamu dibasahi air hujan kerana atap diterbangkan ribut, namun pelbagai peralatan di dalam rumah termasuk barangan elektrik tidak terjejas.

“Saya menganggarkan kerugian kira-kira RM5,000 untuk membaiki segala kerosakan dan membuat satu laporan di Balai Polis Buloh Kasap serta di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Segamat untuk mendapatkan bantuan membaiki kerosakan rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 3:42 PM