SAADON
SAADON
Hadzlihady Hassan dan Shamsul Munir Safini dan Nur Izzati Mohamad


BATU KAWAN: Bomba mempunyai pasukan khas lengkap dengan unit penyelam dan pakar kaunseling bagi menghadapi kes cubaan terjun di Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS), dekat sini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Saadon Mokhtar berkata, pasukan itu adalah anggota terlatih yang mengikuti kursus kaunseling di Universiti Sains Malaysia (USM) yang melayakkan mereka menangani individu hilang tujuan hidup.

Katanya, antara faktor mendorong pembentukan pasukan itu ialah kekerapan kes bunuh diri setiap tahun.

“Kebanyakan mereka adalah anggota berpengalaman yang mengikuti kursus berkaitan termasuk kaunseling, malah ada data berbentuk skrip yang akan digunakan anggota untuk setiap kes ini.

“Setiap individu yang mahu membunuh diri mempunyai alasan tersendiri. Justeru anggota perlu bijak menghadapi mereka bersandarkan pendekatan bersesuaian.

“Ada beberapa kes, mangsa enggan berbual dengan pihak lain namun apabila didekati anggota kita, mereka menunjukkan ruang mendengar dan mahu didekati,” katanya.

Saadon berkata, banyak pihak menganggap tugas untuk menggagalkan usaha individu mahu membunuh diri adalah mudah, tetapi hakikatnya, mereka perlu bermain dengan emosi dan pendekatan khusus.

“Ada yang cakap untuk hadapi mereka ini mudah iaitu dengan menahan sahaja orang itu, tetapi sebenarnya ia tak sesenang seperti yang disangka.

“Menangkap mereka adalah langkah terakhir yang akan diambil selepas usaha pemujukan tidak berhasil,” katanya.

Menurutnya, tahun lalu ada enam kes cubaan terjun di JPP dilaporkan manakala sembilan lagi di JSAHMS.

Katanya, empat kes dilaporkan sejak Januari hingga Mac lalu, masing-masing dua kes di kedua-dua jambatan itu.

“Mengikut rekod kita, lelaki paling tinggi dengan 13 kes berbanding dua kes wanita pada 2018 manakala untuk empat kes tahun ini semuanya lelaki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 7:00 AM