X
GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Bayan Lepas: Lelaki dikhuatiri lemas dipercayai terjatuh dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS) di Kilometer 12.6 arah Batu Maung, di sini, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Ow Chia Ling, 20, dari Taman Cenderawasih Indah, Nibong Tebal, turut meninggalkan motosikalnya di atas jambatan berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.47 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru diketuai Muhamad Amin Mat Masli bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan.

"Ketika tiba di lokasi, peronda jambatan berkenaan memaklumkan terdapat seorang lelaki dipercayai terjun ke dalam laut.

"Mangsa turut meninggalkan motosikal Benelli bersama kad pengenalan diri di atas jambatan berkenaan," katanya di sini hari ini.

Operasi mencari dan menyelamat yang sedang berlangsung turut membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pulau Pinang dan Pasukan Polis Marin.

"Pada masa ini, pos kawalan bomba juga sudah dibuka di Batu Maung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 9:54 AM