JAMBATAN Pulau Pinang menjadi lokasi mereka yang putus asa untuk menamatkan hidup.
JAMBATAN Pulau Pinang menjadi lokasi mereka yang putus asa untuk menamatkan hidup.
Hadzlihady Hassan dan Shamsul Munir Safini dan Nur Izzati Mohamad


PEKERJAAN hakiki mereka adalah nelayan, pemancing dan polis bantuan namun tiga golongan ini seperti terikat dengan ‘kontrak’ menyelamatkan mangsa lemas di laut.

Mangsa pula bukan sebarangan orang sebaliknya, mereka yang sudah berputus asa untuk meneruskan kehidupan dan ada antaranya hilang pedoman disebabkan tekanan.

Tiga golongan itulah yang tampil memberi bantuan awal seperti hero tidak didendang kerana keikhlasan menyelamat dan membantu mengembalikan semula tujuan kehidupan kepada mangsa.

Lokasi tumpuan menyelamat adalah di Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Kedua Pulau Pinang atau nama rasminya Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS), dekat sini.

Bagi nelayan, Hashim Mohd Said, 55, sudah lebih 20 individu diselamatkan sepanjang 20 tahun bergelumang dengan lautan dan menangkap hasil laut untuk menyara keluarganya.

Bapa empat anak itu berkata, dia enggan mengibaratkan diri sebagai penyelamat yang memberi nyawa kedua kepada mangsa, sebaliknya percaya setiap individu dibekal keberanian untuk menjadi wira.

“Saya tidak melakukan tugas ini kerana habuan atau mengharapkan wang, tetapi lebih kepada tanggungjawab terhadap sesama manusia yang Allah SWT tetapkan.

“Tidak kisah juga sama ada orang yang diselamatkan itu berlainan agama dan bangsa kerana cubaan membunuh diri dengan terjun daripada jambatan, bukan langkah terbaik menyelesaikan masalah.

“Malah, ada mangsa yang awalnya nekad membunuh diri, tetapi sebaik berada di laut, timbul kesedaran untuk menyelamatkan diri dan menghargai betapa bernilainya nyawa mereka,” katanya ketika ditemui di sini.

SEORANG lelaki 30-an cuba terjun dari Jambatan Pulau Pinang sebelum berjaya diselamatkan.
SEORANG lelaki 30-an cuba terjun dari Jambatan Pulau Pinang sebelum berjaya diselamatkan.

Dia yang melabuhkan botnya di Jeti Batu Uban, kurang dua kilometer dari Jambatan Pulau Pinang memberitahu, individu terbaharu yang sempat diselamatkan adalah pada Mac lalu membabitkan wanita berusia 22 tahun yang tertekan kerana suaminya ditahan akibat kesalahan dadah.

Sempat juga insan berhati mulia itu menenangkan mangsa dengan harapan wanita berkenaan dapat meneruskan saki-baki kehidupannya dengan lebih tabah.

“Ketika terjun (daripada jambatan) mungkin fikiran mereka berserabut dengan pelbagai masalah dan mengambil jalan singkat untuk membunuh diri. Namun ia bertukar sebaliknya apabila mereka berada dalam laut.

“Rasa menghargai nyawa yang diberikan Tuhan mungkin mendorong mereka berubah fikiran,” katanya yang memberitahu jumlah orang terjun jambatan lebih tinggi ketika era 90-an berbanding sekarang.

Mengulas lanjut, Hashim berkata, dia biasanya akan menerima maklumat daripada pemancing di bawah jambatan mengenai orang yang cuba terjun jambatan ataupun terserempak dengan mangsa memandangkan pejabat Persatuan Nelayan Pulau Pinang berdekatan lokasi.

Dua rakan karibnya yang juga pemancing, Mohd Razif Othman, 28, dan P Jayakumar, 26, berkongsi cerita mengenai usaha menyelamatkan seorang lelaki pada 13 November 2016.

Katanya mereka, ketika itu seorang lelaki berusia 46 tahun terjun dan mereka sempat menarik rambut mangsa dan segera memberi bantuan pernafasan, mengelak mangsa lemas.

Tindakan berani itu membolehkan mereka mendapat penghargaan kerajaan negeri dan diberi sijil serta wang tunai.

Sementara itu, polis bantuan, Zaidi Salleh, 53, yang menyelamatkan seorang wanita yang terjun jambatan JSAHMS, tahun lalu, menyedari tanggungjawabnya kepada masyarakat lebih mencabar, berbanding tugasnya bersama syarikat, Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) yang mengendalikan jambatan berkenaan.

SEPASANG kasut ditinggalkan oleh seorang yang terjun dari Jambatan Pulau Pinang.
SEPASANG kasut ditinggalkan oleh seorang yang terjun dari Jambatan Pulau Pinang.

“Malang tidak berbau dan kita tak boleh jangka apa akan berlaku, memandangkan kedua-dua jambatan di Pulau Pinang ini seperti sudah jadi tumpuan orang untuk mengakhiri hayat mereka.

“Selepas kejadian menyelamatkan seorang wanita tahun lalu, memang diakui beban semakin besar kerana orang melihat saya sebagai wira hingga saya jadi bertanggungjawab untuk selamatkan mangsa lain jika ada.

“Kemampuan ini tidak mudah untuk dipelihara ditambah faktor usia. Tetapi saya sentiasa memantapkan diri dengan persediaan dari segi peralatan menyelamat dan fizikal juga,” katanya yang menyifatkan rezeki buatnya sekeluarga lebih murah dengan menolong orang secara ikhlas.

Dia bersyukur ilmu dipelajari ketika menyertai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum ini membantu untuk berbakti kepada masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 7:00 AM