MOHD Iqmal (kiri) bersama wanita yang diselamatkannya. FOTO ihsan APMM
MOHD Iqmal (kiri) bersama wanita yang diselamatkannya. FOTO ihsan APMM
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: "Saya berenang hampir 20 minit bagi menyelamatkannya apabila melihat mangsa yang menjerit meminta tolong sudah dihanyutkan ombak kuat sejauh 500 meter."

Begitu kata anggota Polis Bantuan Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) Konstabel Mohd Iqmal Hairi Abd Aziz, 26, selepas menyelamatkan wanita berusia 22 tahun dipercayai terjun di Kilometer 16.8 Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS), 6 Disember lalu.

Mohd Iqmal Hairi berkata, ketika kejadian 7.05 pagi itu, dia yang bertugas bersama Konstabel Faizal Ammar Jamaludin, 33, baru selesai meronda dari arah Bayan Lepas dan mahu pulang ke Pejabat Polis Bantuan JKSB di Batu Kawan.

Menurutnya, dua anggota lain Konstabel Mohamad Nor Afandi Mohamad Shariff, 55, dan Konstabel S Ramesh, 50, baru memulakan tugas pada 7 pagi bagi melakukan rondaan dari arah Batu Kawan ke Bayan Lepas.

"Kami menerima panggilan kecemasan dari pusat kawalan yang memaklumkan melihat seorang wanita terjun dari jambatan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) lalu bergegas ke lokasi.

"Sebaik tiba, kami melihat sebuah kereta Perodua Axia berwarna kuning berada di bahu jalan jambatan terbabit, namun tiada pemilik lalu membuat pemeriksaan.

"Wanita itu dilihat sudah jauh di dalam air dan kelihatan 'kecil' lalu kami cuba melempar tali dan pelampung kepadanya, namun tidak berjaya," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

PASUKAN peronda Polis Bantuan Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) di lokasi kejadian. FOTO Zuhainy Zulkiffli
PASUKAN peronda Polis Bantuan Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) di lokasi kejadian. FOTO Zuhainy Zulkiffli

Menurutnya, dia kemudian mengambil keputusan untuk turun dari jambatan menggunakan tali sepanjang kira-kira 12 meter bagi menyelamatkan wanita itu dengan bantuan tiga rakan setugas.

"Saya hanya berpandukan kepada arahan tiga rakan, dan berenang ke arah suara wanita itu yang semakin sayup meminta tolong di samping berdepan dengan ombak kuat.

"Memang berdebar kerana perasaan semasa menjalani latihan dengan berdepan kejadian sebenar amat berbeza dan paling penting ialah saya perlu bertenang tetapi bertindak pantas," katanya.

Menurutnya, dia kemudian menggagahkan diri berenang dan melemparkan pelampung kepada wanita berkenaan ketika berada pada jarak kurang lima meter.

"Wanita berkenaan kelihatan lemah dan saya bimbang jika berada dekat dengannya, mungkin dia akan meronta-ronta.

"Mangsa berjaya diselamatkan dan dibawa menaiki bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang tiba tidak lama kemudian," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan pemilik 'Axia Kuning' yang meninggalkan kenderaannya di bahu jalan di atas jambatan berkenaan diselamatkan selepas dipercayai terjun ke laut.

Berita berkaitan:

  • Pemilik 'Axia kuning' diselamatkan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 4:58 PM