FAISAL (dua dari kiri) bersama Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Pulau Pinang, M Thurkah Thevi (kiri) mengedarkan risalah. FOTO Danial Saad.
FAISAL (dua dari kiri) bersama Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Pulau Pinang, M Thurkah Thevi (kiri) mengedarkan risalah. FOTO Danial Saad.
Siti Sofia Md Nasir


SEMUA kenderaan Kelas Satu yang melalui Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) akan menikmati diskaun tol 10 peratus sempena sambutan Tahun Baru Cina, Sabtu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), Faisal Shahbudin berkata, diskaun yang akan bermula mulai tengah malam sehingga 11.59 malam itu sebagai penghargaan kepada pengguna, selain memudahkan urusan perjalanan pulang ke kampung halaman.

“Ia bukan saja sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat tetapi sebagai cara kami melahirkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada semua pengguna kami,” katanya pada sidang media di Georgetown, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baru Cina anjuran bersama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Pulau Pinang di Plaza Tol JSAHMS.

Ketika ini, kenderaan Kelas Satu membayar harga tol RM7; Kelas Dua RM30.50; Kelas Tiga RM70.10 manakala bagi teksi dan bas pula masing-masing RM8.50 dan RM26.20.

Sementara itu, seramai 65 penuntut jurusan Teknologi Automatif dari Institut Latihan Perindustrian (ILPS) Perai menyertai kempen keselamatan berkenaan bagi menjalankan pemeriksaan visual terhadap kenderaan motosikal.

Timbalan Pengarah ILP Perai, Adnan Ismail, berkata program seumpama ini dapat membantu pelajar menjalankan praktikal pemeriksaan motosikal selain memberi pendedahan dan pengalaman kepada mereka.

“Mereka akan melakukan semakan visual terhadap minyak enjin, rantai motosikal, brek dan sebagainya. “Jika ada kerosakan, penunggang akan menerima rundingan secara percuma,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 4:59 PM