Kenderaan yang ditinggalkan seorang wanita di bahu jalan di atas JSAHMS dekat Georgetown pagi hari ini. Foto Ihsan JBPM
Kenderaan yang ditinggalkan seorang wanita di bahu jalan di atas JSAHMS dekat Georgetown pagi hari ini. Foto Ihsan JBPM
Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my

Georgetown: Pemilik 'Axia Kuning' yang meninggalkan kenderaannya di bahu jalan di atas Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS) dekat sini, diselamatkan selepas dipercayai terjun ke laut.

Wanita berusia 22 tahun itu diselamatkan anggota penyelamat selepas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 7.22 pagi hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, wanita berkenaan meninggalkan Perodua Axia di Kilometer (KM) 16.5 jambatan terbabit bersama pengenalan dirinya.

"Anggota peronda Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) yang bertugas juga melakukan tindakan awal dengan turun dari jambatan menggunakan tali dan jaket keselamatan bagi menyelamatkan wanita terbabit.

"Wanita itu diselamatkan pada jarak 100 meter dari tempat dia dipercayai terjun," katanya.

Wanita itu kemudian dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban di sini, dan kes diserah kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2020 @ 10:36 AM