BOMBA menyelamatkan mangsa. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA menyelamatkan mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: Tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang mengancam untuk membunuh diri dengan terjun ke laut di Kilometer 15 Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS) dari arah Batu Maung ke Batu Kawan, di sini, hari ini.

Lelaki terbabit turut meninggalkan kenderaan sebuah syarikat yang dinaikinya di bahu jalan jambatan itu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 4.15 pagi.

Katanya, tugas menyelamat membabitkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru yang diketuai Rohaizal Abdul Aziz.

"Ketika di lokasi, didapati lelaki berusia 34 tahun itu dalam keadaan terkapai-kapai dan hampir lemas selepas terjun ke laut.

"Anggota bomba menggunakan kaedah 'rappelling' bagi menyelamatkan mangsa," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya lagi, anggota bomba mengambil masa selama 15 minit bagi menyelamatkan mangsa.

"Lelaki terbabit mendakwa terdengar suara halus yang mendorongnya terjun ke laut dan dia diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut sejurus diselamatkan.

Operasi tamat pada jam 7.30 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 8:12 AM