Zuliaty Zulkiffli


WANITA berusia 39 tahun yang terkenal sebagai tokan dadah di Kuala Sala, akhirnya dicekup Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi Ops Cegah, hari ini.

Wanita itu ditahan bersama rakan wanitanya yang berlagak ‘tomboy’ berusia 33 tahun ketika sedang menunggu pelanggan di sekitar Tandop, Yan, sekitar jam 1 tengah hari.

Dalam operasi bermula jam 9 pagi ini, seramai 26 individu disyaki penagih termasuk dua wanita berusia antara 16 hingga 54 tahun dicekup secara berasingan di Kuala Sala, di sini.

Difahamkan, kebanyakan penagih terbabit dipercayai memperoleh bekalan dadah untuk melepaskan gian daripada tokan wanita secara kecil-kecilan secara pandu lalu di atas motosikal.

Ketua Pegawai AADK Daerah Yan, Mohamad Ramli berkata, operasi disertai 18 anggota iaitu 10 anggota AADK Yan dan dibantu lapan anggota AADK Pendang bermula jam 9 pagi hingga 3 petang.

Beliau berkata, kebanyakan penagih dicekup adalah penagih tegar, malah ada di antara mereka pernah beberapa kali keluar dari pusat pemulihan dan penjara kerana terbabit dengan dadah.

“Wanita ditahan itu disyaki tokan dan pernah ditangkap beberapa kali sebelum ini kerana melakukan kegiatan sama.

Beg pinggang dan dua plastik syabu yang dirampas polis dalam serbuan di Kampung Dock, Bukit Tengah dekat Bukit Mertajam. Foto Ihsan PDRM
Beg pinggang dan dua plastik syabu yang dirampas polis dalam serbuan di Kampung Dock, Bukit Tengah dekat Bukit Mertajam. Foto Ihsan PDRM

“Bagaimanapun, kita turut menahan bersama 25 lain kerana disyaki penagih dadah untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui.

Mohamad berkata, kawasan itu sering menjadi tumpuan penagih untuk mendapatkan bekalan dadah sehingga membimbangkan penduduk kampung kerana ia menjadi laluan pelajar sekolah dan penunggang motosikal.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing terhadap semua 26 penagih mendapati mereka positif dadah jenis syabu dan heroin.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan ditahan di lokap AADK Yan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 3:46 PM