Muhamad Halim menunjukkan hasil rampasan dadah pada Op Bersepadu di Kampung Seberang Jaya, Kuala Sala. FOTO Nur Syazwana Mansor
Muhamad Halim menunjukkan hasil rampasan dadah pada Op Bersepadu di Kampung Seberang Jaya, Kuala Sala. FOTO Nur Syazwana Mansor
Nur Syazwana Mansor


DUA tokan dadah antara 30 individu dicekup oleh polis dalam Op Bersepadu di Kampung Seberang Jaya, Kuala Sala, semalam.

Ketua Polis Daerah Yan Deputi Superintendan Muhamad Halim Yatim berkata, operasi dilakukan 6 pagi hingga 6 petang semalam membabitkan seorang pegawai bersama enam anggota.

Muhamad Halim berkata, seramai 30 individu berusia 25 hingga 40 tahun diberkas untuk pemeriksaan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati dua lelaki masing-masing berusia 39 tahun adalah pengedar dadah manakala selebihnya adalah penagih.

"Semua yang ditahan diarah menjalani ujian saringan air kencing dan didapati positif dadah termasuk dua tokan terbabit.

"Kita merampas 58.74 gram heroin dan 60 gram syabu bernilai RM8,400 dan merampas wang tunai RM390.

"Selain itu, dua motosikal curi turut dirampas dalam operasi terbabit bersangkut laporan kes kehilangan di Pendang dan Merbok," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Yan, hari ini.

Menurutnya, dua lelaki itu direman tujuh hari dan kes disiasat berpandukan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

"Kita turut membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 kerana memiliki dadah manakala selebihnya dirujuk kepada pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983..

"Polis komited menangani gejala penagihan dadah secara menyeluruh di daerah ini.

"Oleh itu maklumat dan kerjasama daripada orang awam amatlah dialu-alukan bagi membolehkan gejala ini dapat dibanteras sebaiknya," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 8:21 PM