Nor Farhani Che Ad


BAYI perempuan yang ditemui di hadapan rumah kosong di Kampung Sungai Deraka, Kota Kuala Muda, pagi tadi dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh kurang 24 jam sebelum ditemukan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pemeriksaan mendapati masih terdapat tali pusat pada bayi berkenaan.

"Bayi perempuan baru lahir itu ditemui berbalut kain batik dalam keadaan bersih, sihat dan masih bertali pusat.

"Pemeriksaan ke atas tubuh bayi berkulit cerah itu tidak menemui sebarang kecederaan dan dia dihantar ke ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk rawatan lanjut," katanya.

Menurutnya, pihaknya mengesan bekas penyewa rumah itu yang didapati berpindah keluar, semalam untuk diambil keterangan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi.

Sebelum ini, portal berita Harian Metro melaporkan seorang bayi perempuan masih hidup ditemui oleh adik kepada pemilik sebuah rumah ketika datang melihat kediaman terbabit.

Berita berkaitan

Jumpa bayi depan rumah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 3:53 PM