Bayi yang ditemui di dalam longkang di Jalan Jinjang Selatan Tambahan, pagi tadi. FOTO ihsan PDRM
Bayi yang ditemui di dalam longkang di Jalan Jinjang Selatan Tambahan, pagi tadi. FOTO ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Bayi lelaki masih bertali pusat ditemui di dalam longkang di Jalan Jinjang Selatan Tambahan, di sini pada jam 10.58 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, bayi itu ditemui oleh pelajar berusia 16 tahun ketika berada di rumahnya yang terletak berhampiran dengan lokasi kejadian.

"Saksi terdengar salakan anjing sebelum keluar rumah dan mengikutinya sebelum menemui kotak berisi bayi lelaki masih bertali pusat serta uri di dalam longkang yang terletak 10 meter dari rumahnya.

"Ketika dijumpai, bayi tanpa pakaian itu sedang menangis. Dia kemudiannya menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Bayi itu dihantar ke Unit Rawatan Rapi Neonat (NICU) Hospital Selayang bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi talian 03-40400781 sambungan 782.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2016 @ 3:56 PM