MANGSA yang ditemui mati.
MANGSA yang ditemui mati.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


LELAKI warga emas ditemui meninggal dunia dalam bilik rumahnya di Taman Desa Rhu, Sikamat, Seremban, hari ini.

Abdullah Halim Jamaludin, 73, ditemui dalam keadaan tertiarap oleh pihak bomba selepas dihubungi orang awam untuk membuka pagar rumahnya yang berkunci.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban Kamaruzaimi Harith berkata, pihaknya menerima panggilan 10.22 pagi dan tujuh anggota diarah ke lokasi.

“Sebaik tiba, anggota mendapati polis sudah berada di lokasi. Malah, pagar itu sudah dibuka oleh cucu mangsa yang tinggal berhampiran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kamaruzaimi berkata, anggotanya yang memasuki bilik itu menemui warga emas terbabit dalam keadaan tertiarap.

“Kami mendapati lelaki itu yang dikatakan tinggal bersendirian sudah meninggal dunia dan terdapat kesan darah beku di kepala selain pada lantai bilik,” katanya.

Katanya, berdasarkan keadaan mayat warga emas itu dipercayai meninggal dunia antara tengah malam tadi hingga awal pagi, hari ini.

“Mayat diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan berhubung punca sebenar kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 4:26 PM