GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


KUNJUNGAN seorang lelaki ke rumah rakannya di Jalan Perumahan Bebangai, Betong, bertukar tragedi apabila maut dalam kebakaran, hari ini.

Mayat mangsa yang belum dikenal pasti identiti ditemui dalam bilik air rumah berkenaan dalam keadaan melecur teruk.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.54 petang berhubung kebakaran berlaku di rumah berkenaan.

Tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong ke lokasi mendapati kebakaran berlaku di bahagian dapur.

“Anggota kami juga dimaklumkan terdapat seorang mangsa terperangkap dalam bilik air dan ketika melakukan pemadaman, mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap.

“Anggota segera mengeluarkan mangsa yang melecur teruk, namun disahkan sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, seorang penghuni rumah iaitu lelaki berusia 39 tahun turut melecur tahap dua manakala seorang lagi berusia 30 tahun tidak mengalami kecederaan.

“Berdasarkan keterangan dua mangsa yang terselamat, hanya mereka berdua menetap di rumah itu manakala mangsa yang maut adalah rakan baru yang datang melawat mereka.

“Bagaimanapun, identiti sebenar mangsa yang maut itu belum diperolehi,” katanya.

Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 November 2019 @ 10:45 PM