Ambulans bersiap sedia membawa warga emas ke Hospital Melaka. FOTO HASSAN OMAR
Ambulans bersiap sedia membawa warga emas ke Hospital Melaka. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


Melaka: Lelaki warga emas ditemukan tidak bermaya dalam keadaan tertiarap di atas katil sekurang-kurangnya 48 jam selepas dipercayai diserang angin ahmar di rumahnya di Kampung Bukit Darat, Tanjung Kling di sini, semalam.

Bagaimanapun, lelaki berusia 79 tahun dan isterinya berusia lingkungan 70-an yang uzur serta patah kaki diselamatkan jiran selepas mendengar jeritan meminta tolong daripada wanita terbabit, pada jam 6.30 petang.

Difahamkan wanita terbabit menjerit meminta tolong selepas melihat dua jiran berhampiran dikenali sebagai Samad dan anaknya Wan di luar pagar rumah mereka.

Seorang penduduk, Rahiman Abu Hassan, 52, berkata, Samad dan anaknya meninjau rumah didiami pasangan warga emas itu selepas dua hari tidak nampak lelaki berkenaan keluar untuk membeli makanan.

"Ketika menghampiri rumah berkenaan, mereka mendengar jeritan meminta tolong sebelum kedua-duanya memecahkan kunci pintu pagar dan memanggil saya serta penduduk lain.

"Sebaik masuk ke dalam rumah, kami mendapati lelaki terbabit dalam keadaan tertiarap dan tidak mampu bergerak, dipercayai diserang angin ahmar," katanya ketika ditemui di lokasi hari ini.

Rahiman berkata, isteri lelaki itu yang patah kaki sejak dua bulan lalu terbaring di atas katil bilik lain.

Menurutnya, ketika memberi bantuan, wanita berkenaan memaklumkan suaminya terjatuh sebelum berjaya bangkit dan berjalan ke katil, namun jatuh tertiarap.

"Keadaan mereka amat menyayat hati. Kami percaya pasangan suami isteri itu berada dalam keadaan sedemikian tidak kurang daripada 48 jam tanpa makan dan minum," katanya.

Menurutnya, mereka menghubungi ambulans yang tiba kira-kira sejam selepas itu dan membawa lelaki terbabit ke Hospital Melaka.

Katanya, isteri lelaki terbabit dibawa ke rumah Samad untuk dijaga sementara menunggu empat anak pasangan itu yang tinggal di luar Melaka untuk menjaga ibu bapa mereka.

"Setakat jam 11 malam tadi, kami dimaklumkan keadaan lelaki stabil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 2:02 PM