BIHUN dan beras bertaburan di jalan raya susulan lori terbalik. FOTO Ihsan PDRM
BIHUN dan beras bertaburan di jalan raya susulan lori terbalik. FOTO Ihsan PDRM
Norizuan Shamsuddin


PENGGUNA terpaksa mengharungi kesesakan trafik selepas bihun dan beras bertaburan di atas jalan raya susulan lori terbalik di Kilometer 14.1 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), dekat Plaza Tol Subang, di Petaling Jaya, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian kemalangan di lokasi terbabit, 10 pagi.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dikerahkan bagi melakukan siasatan serta mengawal trafik.

“Siasatan mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori membawa muatan bihun dan beras yang dipercayai terbabas sebelum terbalik berdekatan susur masuk Plaza Tol Subang dari arah Damansara.

“Sewaktu kejadian lori terbabit dipandu oleh seorang lelaki tempatan bersama seorang kelindan. Kejadian menyebabkan kelindan mengalami cedera, manakala pemandu tidak mengalami kecederaan.

“Kejadian menyebabkan bihun dan beras bertaburan di atas jalan raya. Susulan itu kerja-kerja mengalihkan tumpahan beras dan bihun itu ke kenderaan lain dilakukan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, kejadian menyebabkan pergerakan kenderaan menjadi perlahan berikutan dua lorong sahaja di buka di laluan terbabit.

“Anggota trafik turut berada di lokasi bagi membuat mengawal lalu lintas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 1:54 PM