KEMALANGAN membabitkan van peniaga pasar malam di Kilometer 12 Jalan Teluk Intan – Hutan Melintang. FOTO/ Ihsan Bomba
KEMALANGAN membabitkan van peniaga pasar malam di Kilometer 12 Jalan Teluk Intan – Hutan Melintang. FOTO/ Ihsan Bomba
Noor Hidayah Tanzizi


PENIAGA pasar malam maut manakala isteri dan anak perempuannya cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 12 Jalan Teluk Intan – Hutan Melintang, semalam.

Dalam kejadian 4.20 petang itu, kemalangan membabitkan van dinaiki tiga beranak dengan sebuah lori yang kedua-duanya dari arah sama menuju ke Taman Semesti Selesa.

Pemandu van berkenaan, lelaki berusia 43 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian manakala isteri dan anak perempuannya yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan cedera ringan.

Difahamkan ketika kejadian, tiga beranak berkenaan dalam perjalanan ke pasar malam untuk berniaga.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 4.25 petang.

“Siasatan mendapati, lori dipandu lelaki berusia 36 tahun itu berhenti di lorong kanan jalan untuk memasuki simpang sebelah kanan.

“Tiba-tiba van yang datang dari arah sama melanggar belakang kiri lori.

“Akibat kemalangan itu, pemandu van meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya yang berusia 40 tahun dan anak perempuan mereka berusia 16 tahun masing-masing luka di kepala dan kaki,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Marzukhi berkata, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat manakala isteri dan anaknya dihantar ke hospital sama untuk rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 3:43 PM