PEGAWAI Kanan USS Blue Ridge memberi penerangan kepada wakil media tempatan. FOTO Khairull Azry Bidin.
PEGAWAI Kanan USS Blue Ridge memberi penerangan kepada wakil media tempatan. FOTO Khairull Azry Bidin.
Fardy Bungga


KAPAL Perang Armada ketujuh Tentera Laut Amerika Syarikat (USN) USS Blue Ridge, sekali lagi berlabuh di perairan Sabah hari ini, iaitu lapan tahun selepas lawatan pertamanya pada 2011.

Aset milik USN itu memasuki perairan Kota Kinabalu, 10 pagi tadi, selepas menyertai Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) edisi ke-15, di Langkawi, Kedah, bulan lalu.

Pegawai Pemerintah Armada ketujuh USN Kepten Eric J Anduze berkata, lawatan itu menggambarkan hubungan baik dua hala selama 60 tahun antara Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia.

Katanya, kerjasama erat terjalin sebelum ini membolehkan pasukan tentera kedua-dua negara menjalankan latihan bersama menerusi Eksesais ‘Cooperation Afloat Readiness and Training’ (CARAT) dan Southeast Asia Cooperation Against Terrorism (Sea-Cat).

“Tahun lalu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyertai latihan Rim of The Pasific 2018 (RIMPAC) di Honolulu, Hawaii.

“Kami percaya lawatan seperti ini dapat mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara,” katanya ketika berucap pada majlis ringkas selepas berlabuh di Kota Kinabalu, hari ini.

Eric berkata, selepas Sabah, kapal berusia lebih 48 tahun itu akan meneruskan pelayaran ke Kuching, Sarawak.

Sementara itu, Eric menegaskan sepanjang siri lawatan itu ke negara ini, pihaknya akan mengadakan perbincangan dua hala dengan TLDM.

Menurutnya, perbincangan akan membabitkan hubungan strategik antara kedua-dua negara selain bertukar pendapat berkaitan perubahan landskap keselamatan global terkini

“Selain itu kami juga tidak melepaskan peluang untuk melawat rumah anak-anak kurang upaya dan menganjurkan persembahan percuma kepada orang awam.

“Pegawai dan kelasi USS Blue Ridge tidak sabar untuk menikmati keindahan Kota Kinabalu dan menyantuni penghuni kota ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 6:07 PM