KAPAL USS America berlabuh di Jeti Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia, Sepanggar. FOTO Mohd Adam Arinin
KAPAL USS America berlabuh di Jeti Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia, Sepanggar. FOTO Mohd Adam Arinin
Amniera Naziera Amran

SABAH hari ini menerima kehadiran kapal USS America (LHA 6) milik Tentera Laut Amerika Syarikat (USN) selepas merapat di jeti Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sepanggar, hari ini.

Kapal serangan amfibia berkenaan tiba 8 pagi tadi selepas melalui pelayaran lima hari dari Singapura.

Pegawai Memerintah Squadron Ketiga USN, Kapten Rome Ruiz berkata, ini adalah kunjungan pertama kapal berkenaan ke Sabah sejak ditauliah pada 2014.

"Kedatangan kami ke sini hanyalah bertujuan bagi mengeratkan hubungan sedia ada antara dua negara. Kami pasti teruja datang ke sini kerana diterima baik oleh semua pihak.

"Kami akan berada di sini untuk beberapa hari namun tiada sebarang perbincangan berkaitan isu keselamatan bersama pihak TLDM," katanya kepada media di Pangkalan TLDM di Sepanggar, hari ini.

PEGAWAI Memerintah USS America (LHA-6), Kapten Joseph Olsen (kanan) bersama Pegawai Memerintah Unit Ekspedisi Ke-15 Marin, Kolonel Joseph Clearfield (tengah) dan Ruiz (kiri) meninjau aset udara di dek penerbangan USS America. FOTO Mohd Adam Arinin

Kapal sepanjang 257 meter itu boleh mencapai kelajuan sehingga 20 knots.

Ia membawa 2,500 anak kapal serta dilengkapi kemudahan persenjataan canggih termasuk sistem NATO Sea Sparrow Missile, sistem pelancaran Decoy dan sistem anti radar.

Tambah Ruiz, kapal berkenaan turut mempunyai pelbagai kemudahan aset udara seperti pesawat pejuang Harrier AV-8B, helikopter Sea Hawk MH-60s, Sea Stallion CH-53E, Viper AH-1Z dan kapal Osprey MV-22.

"Selain itu, kapal ini mempunyai kemudahan hospital yang dikendalikan empat doktor termasuk dua pakar demi menjaga kebajikan anak kapal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 5:53 PM