DR Mahathir pada sidang media di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Bernama.
DR Mahathir pada sidang media di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Bernama.
Hairulazim Mahmud


PINDAAN Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan adalah usaha kerajaan merealisasikan tuntutan Sabah dan Sarawak untuk menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, kerajaan mencadangkan pindaan berkenaan bagi memperuntukkan semula peruntukan mengenai negeri Persekutuan sebagaimana kedudukan semasa Persekutuan Malaysia dibentuk dengan pengubahsuaian yang perlu.

“Ini langkah pertama dilaksanakan dalam hal ini, Jawatankuasa Khas Kabinet untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang dianggotai wakil Kerajaan Persekutuan dan wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak termasuklah Ketua Menteri Sabah dan Sarawak memutuskan bahawa kerajaan bersetuju untuk meminda Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan.

“Pindaan ini dilaksanakan sebagai memenuhi tuntutan Sabah dan Sarawak yang mahukan agar kedudukan negeri itu dikembalikan kepada kedudukan peruntukan berkenaan semasa pembentukan Malaysia pada 1963, selaras dengan semangat dan hasrat MA63,” katanya di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi Perkara 1(2) untuk mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sama rata dengan Semenanjung untuk bacaan kali kedua.

Dr Mahathir berkata, pindaan itu selaras dengan ucapannya semasa sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2018.

“Pada 16 September 1963 dalam Perjanjian Malaysia 1963, keempat-empat wilayah ini bergabung sebagai ‘equal partners’ atau rakan seangkatan, berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.

“Tahun berikutnya menukar status Sabah dan Sarawak dari rakan sekutu kepada negeri di dalam Malaysia,” kata beliau.

Beliau berkata, Jawatankuasa Khas Kabinet terbabit masih dalam proses perbincangan dan rundingan mengenai isu membabitkan pelaksanaan hak kedua-dua negeri mengikut MA63.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 9:29 PM