Hairulazim Mahmud


PANGGILAN ‘pengkhianat orang Sabah dan Sarawak’ dan ‘rugi orang Sabah dan Sarawak’ dilontarkan kepada pembangkang khususnya kepada parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) selain Barisan Nasional dan PAS apabila mereka menggagalkan usaha kerajaan meminda Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam undian belah bahagi, hanya 138 Ahli Parlimen mengundi untuk meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi Perkara 1(2) di Dewan Rakyat malam ini.

Sedangkan sebarang pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan undian dua pertiga atau 148 undian daripada 221 Ahli Parlimen berikutan kekosongan kerusi Parlimen Sandakan.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof ketika membacakan keputusan berkata, 138 undi bersetuju dengan pindaan berkenaan manakala tiada undian yang tidak bersetuju dan 59 undi berkecuali.

“Dengan itu, usul ini tidak boleh diteruskan untuk bacaan kali ketiga,” katanya sebelum menangguhkan sidang dewan.

Terdahulu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menggulung perbahasan pindaan Perlembagaan membabitkan Sabah dan Sarawak sejak 1976 itu berkata, itu adalah langkah pertama yang dilaksanakan.

Beliau berkata, pada masa sama Jawatankuasa Khas Kabinet untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dianggotai oleh wakil Kerajaan Persekutuan dan wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.

Dalam sesi perbahasan RUU itu, Ahli Parlimen pembangkang dari Sabah dan Sarawak mahu pindaan itu memasukkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan kajian berkaitannya dilakukan dengan lebih teliti.

Mereka menuntut supaya RUU itu diserahkan Jawatankuasa Pilihan Khas untuk meneliti dengan lebih mendalam sebelum pindaan Perlembagaan dilakukan.

Bagaimanapun usul Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (GPS-Santubong) itu ditolak melalui undian suara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 11:13 PM