Datuk Seri Dr Maximus Ongkili
Datuk Seri Dr Maximus Ongkili
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) bersetuju melaksanakan cadangan pindaan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, keputusan itu dipersetujui pada mesyuarat MKMA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berlangsung hampir tiga jam, semalam.

"Mesyuarat MKMA63 bersetuju untuk melaksanakan pindaan bagi mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu.

"Pindaan itu juga akan mentakrif semula maksud Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Cadangan pindaan itu dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang juga mengetuai Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu MKMA63.

Maximus yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata MKMA63 bersetuju agar cadangan pindaan rang undang-undang (RUU) itu dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang.

"MKMA63 akan terus membincangkan perkara tertunggak dan memastikan hak rakyat Sabah dan Sarawak dipulihkan, terutamanya melalui jawatankuasa penyelesaian masalah di bawah MKMA63," ujar Ongkili.

Katanya, MKMA63 turut bersetuju memberi kuasa kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk mengeluarkan lesen bagi menangkap ikan laut dalam.

Pada mesyuarat itu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengemukakan kertas cadangan memohon persetujuan daripada MKMA63 untuk memberi kuasa kepada Jabatan Perikanan di Sabah bagi mengeluarkan lesen kapal dan peralatan penangkapan ikan untuk tempat penangkapan ikan di Zon C yang kini dikendalikan oleh jabatan Persekutuan.

"Pada awalnya cadangan itu diajukan oleh kerajaan negeri Sabah tetapi MKMA63 bersetuju agar cadangan itu dipersetujui dan diperluaskan ke Sarawak juga," katanya.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata, pindaan yang dibuat kali ini berbeza berbanding usul kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

Katanya, perbezaan utama pindaan itu ialah dalam tambahan pindaan bagi mentakrifkan semula 'Persekutuan' dalam Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan.

"Pindaan ini akan menentukan status semua negeri di Malaysia sejajar dengan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, MA63 dan status selepas Singapura keluar pada 1965," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 1:30 PM